KOTA KINABALU: Penahanan seorang lelaki bersama parcel mengandungi 329 gram ganja membawa kepada beberapa serbuan susulan sehingga enam individu termasuk dua wanita ditahan di sekitar bandar raya ini, kelmarin.
Operasi Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah itu bermula selepas menerima maklumat daripada Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) berkaitan penghantaran parcel yang disyaki mengandungi dadah.
Ketua JSJN Sabah, Asisten Komisioner Alhusin Halil berkata, bertindak atas maklumat itu, sepasukan pegawai dan anggota menjalankan pemantauan sebelum menahan seorang lelaki berusia 45 tahun di kawasan Likas, kira-kira jam 7.23 malam.
Katanya, pemeriksaan terhadap parcel yang berada dalam pegangan suspek menemukan sebuah kotak mengandungi tiga paket plastik lutsinar berisi bahan disyaki ganja mampat.
“Keseluruhan dadah yang dirampas dianggarkan seberat 329 gram dengan nilai kira-kira RM3,290.
“Ujian saringan awal air kencing terhadap suspek didapati negatif dan polis turut merampas sebuah telefon bimbit untuk siasatan lanjut,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Alhusin berkata, susulan tangkapan itu, pasukan JSJN IPK Sabah meneruskan operasi ke sebuah rumah di Inanam dan menahan dua lagi lelaki berusia 37 dan 46 tahun.
Menurutnya, kedua-dua lelaki berkenaan disyaki mempunyai kaitan dengan siasatan yang sedang dijalankan dan ujian saringan awal air kencing mendapati mereka positif tetrahydrocannabinol (THC).
“Operasi kemudian diteruskan ke kawasan tempat letak kenderaan di Alamesra yang membawa kepada penahanan seorang lagi lelaki berusia 23 tahun.
“Susulan itu, polis menyerbu sebuah unit kediaman di University Utama Condominium (UUC) dan menahan dua wanita berusia 20-an bagi membantu siasatan,” katanya.
Beliau berkata, beberapa barangan turut disita sepanjang operasi termasuk telefon bimbit, tablet, jam tangan serta barang kemas bagi membantu siasatan.
Katanya, semua enam suspek kini ditahan di Lokap Berpusat Kontinjen Sabah untuk proses reman dan siasatan lanjut.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, manakala kesalahan berkaitan penyalahgunaan dadah turut disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) akta sama,” katanya. – Info X