Search

Remaja 15 tahun lemas ketika mandi di sungai

July 19, 2026

Info X Reporters

PAPAR: Seorang remaja lelaki disahkan meninggal dunia selepas dipercayai lemas ketika menjalankan aktiviti mandi-manda di sungai berhampiran Kaiduan Luluba Eco-Tourism, di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah hari itu, mangsa berusia 15 tahun terbabit berjaya ditemui orang awam dan diberikan bantuan pernafasan CPR oleh pasukan bomba.

Bagaimanapun, usaha menyelamatkan mangsa yang dikenali sebagai Syazani John gagal dan disahkan meninggal dunia sejurus selepas itu.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Papar, Rony Sikawan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian berkenaan pada jam 12.30 tengah hari.

Katanya, sepasukan lapan anggota dan pegawai bersama jentera dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) terus dikerah ke lokasi kejadian.

“Setibanya di lokasi kejadian mendapati, mangsa berjaya ditemui orang awam sebelum ketibaan Pasukan Bomba.

“Pasukan Bomba bertindak memberikan bantuan pernafasan kecemasan (CPR) kepada mangsa namun gagal menyelamatkan mangsa,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, mangsa disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di lokasi kejadian sebelum mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

“Pasukan bomba terus melakukan pemeriksaan akhir bagi memastikan tiada kemerbahayaan lain sebelum operasi tamat sepenuhnya pada jam 2.15 petang,” katanya. – Info X