Search

Sidang DUN: Pasukan Renjer Pengiring Gajah bantu tangani gangguan gajah

July 21, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Pasukan Renjer Pengiring Gajah diwujudkan di kawasan terjejas atau hotspot berlaku konflik gajah sebagai pendekatan menangani konflik manusia-gajah di Sabah.

Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Dr Andi Md Shamsureezal Mohd Sainal, berkata usaha itu dilaksanakan Jabatan Hidupan Liar Sabah (JHLS) menerusi pembabitan komuniti setempat yang akan dilatih berkaitan kaedah menangani konflik gajah.

Pasukan itu, katanya akan diberikan latihan berkaitan tingkah laku gajah, kaedah mengendalikan konflik secara selamat serta teknik menghalau gajah secara berkesan tanpa mencederakan haiwan itu.

“Pendekatan ini dapat mempercepatkan tindakan di lapangan dan meningkatkan keupayaan komuniti dalam menangani konflik,” katanya pada sesi soal jawab lisan Persidangan DUN Sabah pada Selasa.

Beliau menjawab soalan Arunarnsin Taib (Warisan-Gum-Gum) mengenai langkah kerajaan untuk menangani masalah serangan makhluk perosak seperti gajah liar, babi hutan, monyet dan haiwan lain yang merosakkan tanaman serta menjejaskan pendapatan petani di kawasannya.

Dr Andi Md Shamsureezal, berkata pendekatan yang diambil kerajaan negeri melalui JHLS itu lebih kepada usaha mitigasi secara menyeluruh melalui peningkatan kesedaran masyarakat, penglibatan komuniti dan penggunaan kaedah pencegahan yang lebih berkesan bagi mengurangkan risiko konflik.

“Kementerian saya melalui JHLS juga sentiasa menambah baik prosedur operasi dan berkongsi kepakaran dengan pasukan mitigasi yang ditubuhkan bersama komuniti setempat,” katanya.

Selain itu, katanya JHLS turut melaksanakan beberapa tindakan khusus mengikut spesies hidupan liar seperti pengurangan populasi secara terkawal bagi konflik membabitkan monyet.

“Bagi konflik membabitkan monyet, aktiviti pengurangan populasi secara terkawal dilaksanakan di kawasan tertentu, terutamanya bagi tujuan pengawalan risiko penyakit zoonotik dan keselamatan awam dan bukannya sebagai kaedah untuk menyelesaikan konflik manusia-hidupan liar.

“Bagi gajah liar pula, antara langkah yang telah dilaksanakan adalah pemasangan kolar satelit bagi memantau pergerakan gajah dan corak penggunaan habitat.

“Data daripada pemantauan ini membantu jabatan memahami laluan pergerakan gajah serta merancang tindakan mitigasi yang lebih berkesan, termasuk amaran awal kepada komuniti yang berisiko,” katanya.

Jelasnya, bagi konflik membabitkan babi hutan, JHLS turut melaksanakan tindakan kawalan mengikut peruntukan undang-undang dan berdasarkan penilaian risiko serta aduan di kawasan terjejas.

Pendekatan yang diambil, katanya adalah berdasarkan kepada sifat, ekologi dan punca konflik bagi setiap spesies serta keadaan sesuatu kawasan.

“Kerajaan negeri juga memahami bahawa kaedah tangkap dan pindah bukanlah penyelesaian jangka panjang kerana ia hanya memindahkan masalah ke kawasan lain dan tidak menangani punca sebenar konflik secara menyeluruh,” katanya.

Katanya, kerajaan negeri akan terus memperkukuh pendekatan berasaskan sains melalui pemantauan berterusan, penyelidikan, penggunaan teknologi, penglibatan komuniti dan kerjasama strategik bagi memastikan keseimbangan di antara pemuliharaan hidupan liar dan kesejahteraan masyarakat, khususnya petani yang terjejas.

“Kerajaan negeri komited untuk memastikan konflik manusia-hidupan liar dapat diurus secara mampan dengan mengambil kira kepentingan keselamatan rakyat, kelangsungan sektor pertanian serta pemuliharaan biodiversiti Sabah,” katanya. – Info X