Search

Dahan pokok tembusi cermin depan, dua lelaki terselamat

July 22, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Perjalanan dua lelaki menuju ke pusat bandar raya bertukar cemas apabila dahan pokok patah lalu menghempap Toyota Avanza yang dinaiki mereka di Jalan Coastal berhampiran Centre Point, di sini, tengah malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.30 tengah malam itu, dahan berkenaan menembusi cermin hadapan sehingga mencecah bahagian papan pemuka berhampiran tempat duduk pemandu.

Bagaimanapun, kedua-dua mangsa berusia 23 dan 27 tahun bernasib baik apabila terselamat tanpa mengalami sebarang kecederaan.

Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kota Kinabalu, Mejar (PA) Aizex Junior Simon berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 12.45 tengah malam.

Katanya, sepasukan enam anggota termasuk seorang pegawai bersama sebuah Light Rescue Vehicle (LRV) dan ambulans digerakkan ke lokasi untuk menjalankan operasi.

“Setibanya di lokasi, didapati sebatang pokok tumbang dengan satu dahan menghempap sebuah Toyota Avanza.

“Dahan itu menembusi cermin hadapan hingga ke bahagian papan pemuka, namun kedua-dua lelaki yang berada di dalam kenderaan berkenaan tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurutnya, anggota APM mengambil masa kira-kira 30 minit untuk memotong dan mengalihkan pokok yang menghalang laluan serta menghempap kenderaan berkenaan.

Beliau berkata, operasi ditamatkan selepas kawasan dipastikan selamat sebelum laluan di Jalan Coastal berhampiran Centre Point dibuka semula kepada pengguna jalan raya. – Info X