KOTA KINABALU: Sebanyak 10 lorong memotong dan lorong mendaki dicadang dibina di laluan antara pekan Ranau dan Kundasang sebagai langkah jangka pendek mengurangkan kesesakan lalu lintas yang berlaku di laluan berkenaan.
Cadangan yang dikemukakan melalui Program Pengurusan Trafik Skim Pengurusan dan Penambahbaikan Trafik dan Pengangkutan, Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah itu dijangka dapat meningkatkan kapasiti jalan, melancarkan pergerakan trafik serta mengurangkan kesesakan di kawasan Ranau dan Kundasang.
Timbalan Ketua Menteri, Datuk Dr Joachim Gunsalam, selaku Menteri Kerja Raya dan Utiliti negeri, berkata pembinaan lorong memotong dan lorong mendaki itu turut membantu mengurangkan panjang barisan kenderaan di kawasan berbukit.
Katanya, risiko kemalangan akibat aktiviti memotong di sepanjang laluan Tamparuli–Sandakan juga dapat dikurangkan, sekali gus meningkatkan tahap keselamatan dan keselesaan pengguna jalan raya.

“Kerajaan merancang pembinaan lorong memotong di beberapa lokasi strategik bagi memudahkan pergerakan trafik, khususnya apabila terdapat kenderaan berat yang bergerak perlahan di laluan berbukit.
“Inisiatif ini dijangka meningkatkan
kelancaran aliran trafik, mengurangkan masa perjalanan serta menambah baik tahap keselamatan pengguna jalan raya.
“Melalui Program Pengurusan Trafik di bawah Skim Pengurusan dan Penambahbaikan Trafik dan Pengangkutan, JKR Sabah, sebanyak 10 cadangan pembinaan lorong memotong dan lorong mendaki dikemukakan untuk pertimbangan pelaksanaan bagi membantu mengurangkan kesesakan lalu lintas dan meningkatkan tahap perkhidmatan jalan di laluan berkenaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Rusdin Riman (KDM-Paginatan) mengenai langkah mengatasi kesesakan lalu lintas yang semakin serius di pekan Ranau dan Kundasang pada sesi soal jawab Persidangan DUN, di sini, pada Khamis.
Dr Joachim berkata, pada 2025, sebanyak RM2.3 juta diperuntukkan bagi pelaksanaan projek berkaitan di tiga lokasi di Jalan Kota Kinabalu-Sandakan di Ranau, iaitu di KM100.00-KM100.20, KM104.42-KM104.68 dan KM106.30-KM106.70.
Pada tahun tahun ini pula, katanya sebanyak RM560,000 diperuntukkan bagi pelaksanaan projek di satu lokasi di jalan yang sama iaitu di KM100.40-KM100.60.
Selain itu, katanya kerajaan turut menyediakan laluan alternatif kepada pengguna jalan raya bagi mengelak kesesakan di antara pekan Ranau dan Kundasang dengan menaik taraf jalan sedia ada di laluan terbabit.
Ketika ini, katanya dua projek menaik taraf jalan alternatif sedang dilaksanakan iaitu Jalan Kampung Mohimboyon-Lipantai-Pahu, Ranau dan Jalan Tambiau-Sarapong, Ranau, kedua-duanya projek reka dan bina.
“Jalan Kampung Mohimboyon-Lipantai-Pahu sepanjang enam kilometer ini sedang dalam pembinaan dan dijangka siap pada 2027 dengan status kemajuan kerja fizikal kini mencapai 69.69 peratus.
“Setelah siap kelak, projek ini
dijangka dapat mengurangkan kebergantungan pengguna kepada laluan utama, sekali gus membantu mengagihkan aliran trafik serta mengurangkan kesesakan lalu lintas antara Pekan Kundasang dan Pekan Ranau,” katanya.
Beliau berkata Jalan Tambiau-Sarapong pula membabitkan kerja naik taraf sepanjang 4.05 kilometer yang sedang dalam pembinaan dan dijangka siap pada 2028 dengan status kemajuan kerja fizikal ketika ini mencapai 5.42 peratus.
Sementara itu, Dr Joachim berkata dua lagi projek pembinaan jalan baharu turut dirancang di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) sebagai langkah jangka panjang untuk mengatasi masalah kesesakan lalu lintas di antara pekan Ranau dan Kundasang.
Projek pertama katanya ialah membina Jalan Ranau Bypass dari Bundu Tuhan ke Kilimu, Ranau yang sudah diluluskan bagi pelaksanaan kajian dan penyediaan reka bentuk terperinci.
Katanya, cadangan jalan pintasan
sepanjang 30 kilometer itu melibatkan pembinaan jalan baharu, penaiktarafan jalan sedia ada dan pembinaan tiga jambatan.
“Apabila siap kelak, jalan pintasan ini akan menyediakan laluan alternatif dari Bundu Tuhan yang menghubungkan terus ke Jalan Ranau-Sandakan di Kilimu.
“Ini membolehkan pengguna yang
menuju ke Sandakan atau kawasan sekitarnya tidak lagi perlu melalui Pekan Kundasang dan Pekan Ranau, sekali gus mengurangkan kesesakan lalu lintas di kedua-dua pekan. Bagaimanapun, pelaksanaan pembinaan fizikal projek ini masih tertakluk kepada kelulusan peruntukan,” katanya.
Beliau berkata, satu lagi projek jangka panjang ialah naik taraf jalan gravel kepada jalan berturap Jalan Kampung Mesilau-Kampung Lipasu, Ranau sepanjang lapan kilometer.
Jalan itu, katanya akan menghubungkan terus pengguna japan raya dari Kampung Mesilau ke Jalan Kibbas Lipasu, sekali gus melengkapkan rangkaian perhubungan alternatif antara Kundasang dan Ranau.
“Pelaksanaan projek ini akan
menyediakan satu lagi laluan alternatif kepada pengguna jalan raya, seterusnya membantu mengagihkan aliran trafik daripada laluan utama, mengurangkan kesesakan serta memendekkan masa perjalanan pengguna.
“Projek ini telah diluluskan di bawah RMK-13 dengan kos projek RM138.661 juta dan siling peruntukan sebanyak RM40 juta. Status terkini projek adalah dalam fasa pelantikan jurutera perunding bagi penyediaan reka bentuk terperinci,” katanya. – Info X