KOTA KINABALU: SEDCO Communications Sdn Bhd (S.Comm) membentangkan pelan pembangunan syarikat dan perkembangan projek strategik yang disertainya kepada kerajaan negeri, di sini, pada Rabu.
Pembentangan itu dibuat Pengerusi Sabah Economic Development Corporation (SEDCO), Datuk Masiung Banah ketika kunjungan hormat kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah.
Masiung membentangkan pelan induk berhubung kerangka cadangan Kudat Blue Economy Industrial Park (KBEIP) yang bakal dilaksanakan di Kudat.
Pada sesi pembentangan itu, S.Comm memaklumkan perancangannya untuk mengembangkan penglibatan dalam sektor telekomunikasi, selain sedang menjalinkan kerjasama strategik dengan syarikat luar negara bagi meneroka pembangunan teknologi berasaskan kecerdasan buatan (AI) di Sabah.
Sementara itu, SEDCO selaku peneraju utama pembangunan KBEIP memaklumkan sedang merangka garis panduan awal bagi melaksanakan kerja-kerja tanah dan pengukuran tapak sebagai persediaan pelaksanaan projek dalam tempoh Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13).
Projek KBEIP dirancang sebagai hab industri berteraskan ekonomi biru yang menggabungkan pembangunan maritim, teknologi hijau dan industri berimpak tinggi, sejajar dengan usaha memperkukuh pembangunan ekonomi Sabah.
Turut hadir dalam kunjungan itu ialah Setiausaha Tetap Kementerian Perindustrian dan Keusahawanan Sabah, Datuk Thomas Logijin; Pengurus Besar SEDCO, Datuk Ar Jemas Wong Kein Peng dan Ketua Pegawai Eksekutif S.Comm, Subha Maraiah. – Info X