KOTA KINABALU: Semua dadah yang dirampas di Sabah tidak dilupuskan di negeri ini, sebaliknya dihantar ke Negeri Sembilan untuk dimusnahkan mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun berkata, perkara itu dijelaskan susulan persoalan netizen yang tertanya-tanya mengenai proses pelupusan dadah rampasan di Sabah, terutama membabitkan rampasan dalam kuantiti dan nilai yang besar.
Katanya, semua barang kes berkenaan dihantar ke sebuah pusat pelupusan khas di Negeri Sembilan untuk dimusnahkan mengikut prosedur ditetapkan.
“Ada netizen bertanya mengapa mereka tidak pernah melihat pelupusan barang kes, terutama dadah yang dirampas di Sabah.
“Sebenarnya, tiada pelupusan dibuat di Sabah. Semua barang kes mengikut SOP dan peraturan ditetapkan akan dibawa ke Semenanjung, iaitu di Negeri Sembilan untuk dilupuskan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, semalam.
Jauteh berkata, proses pelupusan dilaksanakan secara telus dan mengikut tatacara ditetapkan bagi memastikan semua barang kes dimusnahkan dengan selamat.
Menurutnya, orang ramai yang ingin menyaksikan sendiri proses berkenaan boleh berbuat demikian di Semenanjung kerana pelupusan dilaksanakan secara terbuka mengikut prosedur ditetapkan.
“Sebab itu masyarakat tidak pernah melihat pelupusan dadah dibuat di Sabah walaupun banyak rampasan direkodkan di negeri ini,” katanya.
Beliau berkata, PDRM sentiasa memastikan semua barang kes, khususnya dadah yang dirampas, diuruskan dan dilupuskan mengikut peraturan serta SOP yang berkuat kuasa. – Info X