KUDAT: Sebuah lokasi penyimpanan barang kawalan di Pulau Sibogoh, Pulau Banggi, di sini, diserbu selepas disyaki dijadikan tempat menyimpan bekalan dalam kuantiti besar berhampiran sempadan negara.
Serbuan menerusi operasi bersepadu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Cawangan Kudat bersama Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Empat Kudat itu dijalankan hasil risikan berkaitan aktiviti penyelewengan barang kawalan.
Ketua Pegawai Penguat Kuasa Daerah KPDN Cawangan Kudat, Nazatul Shima Karim berkata, operasi berkenaan adalah sebahagian daripada Ops Tiris 4.0 bagi membanteras penyelewengan barang kawalan terutama di kawasan yang dikenal pasti sebagai lokasi berisiko tinggi.
Katanya, pemeriksaan di sebuah lokasi penyimpanan menemukan sejumlah besar barang kawalan yang disyaki disimpan tanpa dokumen atau kebenaran berkaitan.
“Hasil pemeriksaan menemukan 432 kilogram (kg) gula kasar, 408kg minyak masak paket satu kilogram dan 210kg tepung gandum.
“Seorang lelaki tempatan turut ditahan bagi membantu siasatan sebelum dilepaskan dengan jaminan polis,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, semua barang kawalan terbabit disita KPDN untuk siasatan dan tindakan lanjut mengikut peruntukan undang-undang berkuat kuasa.
Beliau berkata, satu tindakan kes dibuka mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.
Katanya, KPDN tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu atau sindiket yang terbabit dalam aktiviti penyelewengan barang kawalan termasuk cubaan menyalahgunakan subsidi kerajaan.
“Tindakan penguatkuasaan akan terus dipertingkatkan secara berterusan dan lebih agresif, terutama di kawasan yang dikenal pasti berisiko tinggi berlakunya aktiviti penyeludupan dan penyelewengan barang kawalan,” katanya.
Nazatul Shima turut merakamkan penghargaan kepada PPM Wilayah Empat Kudat atas kerjasama strategik dalam menjayakan operasi berkenaan termasuk dari aspek keselamatan anggota, sokongan logistik dan bantuan operasi di lapangan.
Beliau berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyelewengan barang kawalan diminta menyalurkan maklumat kepada KPDN menerusi saluran rasmi disediakan. – Info X