Search

Rokok seludup lebih RM229,000 dirampas di stor tingkat 10

July 26, 2026

Info X Reporters

SANDAKAN: Kegiatan menjadikan dua bilik di sebuah bangunan sebagai stor penyimpanan rokok seludup terbongkar selepas diserbu Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah di Bandar Sandakan, di sini, hari ini.

Dalam serbuan di sebuah premis di Tingkat 10, Bangunan Baru Bandar Sandakan, Jalan Old Slipway, pasukan operasi merampas 187,480 batang rokok pelbagai jenama yang dipercayai tidak berkastam.

Rampasan itu membabitkan rokok kretek dan rokok putih dengan anggaran keseluruhan nilai melebihi RM229,000.

Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Polis Ahmad Amri Abd Rahman berkata, semua rokok berkenaan ditemui hasil pemeriksaan yang dijalankan di dua bilik yang dijadikan stor penyimpanan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, bagi tempoh Januari hingga Julai tahun ini, PPM Wilayah 4 Sabah merekodkan 42 kes penyeludupan rokok dengan 30 tangkapan serta jumlah nilai rampasan mencecah RM6,030,176.66.

Katanya, kejayaan itu membuktikan komitmen berterusan PPM Wilayah 4 Sabah dalam membanteras kegiatan penyeludupan yang menjejaskan hasil negara.

“PPM Wilayah 4 Sabah akan terus memperhebat operasi penguatkuasaan serta memperkukuhkan kerjasama strategik dengan agensi berkaitan bagi memastikan kegiatan penyeludupan dapat dibanteras secara menyeluruh demi memelihara keselamatan dan kepentingan ekonomi negara,” katanya. – Info X