Search

Segerakan langkah tangani isu parking di HQE, HQE2 dan Klinik Kesihatan Luyang

July 27, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Kerajaan digesa mempercepatkan pelaksanaan langkah penyelesaian jangka pendek masalah letak kereta di Hospital Queen Elizabeth (HQE), HQE2 dan Klinik Kesihatan Luyang, di sini seperti dijelaskan pada Persidangan DUN minggu lalu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Likas, Tham Yun Fook, berkata langkah jangka pendek seperti penyediaan ruang letak kereta sementara, penambahbaikan aliran trafik dan pengangkutan awam ke fasiliti kesihatan perlu disegerakan.

Katanya, langkah penyelesaian jangka pendek itu penting sementara menunggu projek besar disiapkan bagi memastikan kesukaran dihadapi pesakit, pelawat dan kakitangan kesihatan di hospital terbabit dapat ditangani.

“Sebagai wakil rakyat Likas, saya akan terus memantau perkembangan pelaksanaan semua cadangan yang diumumkan dan memastikan kepentingan rakyat sentiasa diberikan keutamaan,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Katanya, beliau mengalu-alukan jawapan Kementerian Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah berhubung soalannya pada Persidangan DUN baru-baru ini mengenai masalah kekurangan tempat letak kereta di HQE, HQE2 dan Klinik Kesihatan Luyang.

“Kementerian telah mengakui bahawa isu ini memberi kesan kepada pesakit, pelawat dan kakitangan kesihatan, serta memerlukan penyelesaian jangka pendek dan jangka panjang,” katanya.

Katanya, berdasarkan jawapan kementerian terbabit, beberapa langkah telah dan sedang dilaksanakan bagi menangani isu kesukaran letak kereta di fasiliti kesihatan terbabit.

Kementerian antara lain menyebut mengenai penyediaan lot parkir bertingkat di HQE menerusi Projek Naik Taraf HQE dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) serta pengasingan laluan kenderaan kritikal seperti ambulans dan kenderaan kecemasan bagi mengurangkan kesesakan dalam kawasan hospital.

Turut dilakukan ialah perbincangan dengan Qhazanah Sabah Berhad bagi menyediakan tapak letak kersta sementara berhampiran HQE2 dan penambahan 419 petak letak kereta di HQE2 melalui Projek Pusat Jantung Sabah.

Selain itu, kementerian juga membuat penilaian terhadap pembinaan fasiliti kesihatan baharu di kawasan bersempadan antara Kota Kinabalu dan Penampang bagi menampung peningkatan permintaan perkhidmatan kesihatan.

Tham menyatakan harapannya agar semua perancangan itu dapat diterjemahkan kepada tindakan yang nyata dalam tempoh yang munasabah.

“Penduduk Likas, Luyang dan kawasan sekitar telah lama berdepan masalah kesesakan yang bukan sahaja menjejaskan keselesaan tetapi juga boleh menjejaskan akses kepada rawatan kesihatan, khususnya dalam keadaan kecemasan,” katanya. – Info X