Search

Dua lelaki ditahan disyaki peras ugut mangsa

July 27, 2026

Info X Reporters

TAWAU: Tindakan dua lelaki tempatan dipercayai memeras ugut seorang lelaki dengan mengancam mahu mendedahkan kejadian tertentu berakhir apabila kedua-duanya ditahan polis dalam satu operasi di kawasan kaki lima sebuah pusat beli-belah, di sini.

Kedua-dua suspek ditahan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau susulan laporan polis yang dibuat mangsa.

Pemangku Ketua Polis Daerah Tawau, Superintendan Wilynton Enchana Watt berkata, hasil siasatan awal mendapati kedua-dua suspek dipercayai meminta wang daripada mangsa dengan ugutan akan mendedahkan kejadian tertentu kepada pihak lain sekiranya bayaran tidak dibuat.

“Susulan tangkapan itu, polis turut merampas dua telefon bimbit milik suspek yang dipercayai mempunyai kaitan dengan siasatan.

“Kedua-dua suspek kemudian dibawa ke IPD Tawau untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan, malam ini.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 385 Kanun Keseksaan kerana melakukan pemerasan. – Info X