Search

‘Geng Andy’ tumpas, polis selesai 10 kes curi rim kenderaan

August 4, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU, Polis berjaya menumpaskan sindiket curi rim kenderaan dikenali sebagai “Kumpulan Geng Andy” menerusi beberapa siri serbuan pada 30 dan 31 Julai lalu.

Kumpulan berkenaan yang aktif melakukan jenayah di sekitar bandaraya ini dipercayai terlibat dalam sekurang-kurangnya 10 kes kecurian rim.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintendan Syed Lot Syed Ab Rahman, berkata bertindak atas maklumat risikan, polis berjaya menahan empat lelaki tempatan berusia lingkungan 30 hingga 38 tahun bagi membantu siasatan.

Katanya, serbuan pertama dilakukan pada 30 Julai lalu di tepi Jalan Kampung Meruntum, Putatan dan berjaya menahan seorang suspek serta merampas sebuah kereta Perodua Myvi yang dipercayai digunakan dalam kegiatan jenayah.

“Serbuan kedua dijalankan di sebuah unit di PPR Taman Sri Keramat, Kampung Ketiau, Putatan dan membawa kepada penahanan dua lagi suspek.

“Polis turut merampas pelbagai peralatan yang dipercayai digunakan untuk mencuri rim kenderaan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu, di sini, hari ini.

Syed Lot berkata, serbuan diteruskan di sebuah premis logam di Kampung Buit Hill, Penampang dan berjaya menahan seorang lagi suspek yang dipercayai bertindak sebagai pembeli rim curi ditahan.

“Dalam serbuan itu, polis merampas 21 unit rim pelbagai jenis kenderaan serta enam keping resit pembayaran yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kegiatan jenayah berkenaan.

“Susulan kejayaan itu, serbuan keempat dilaksanakan di Taman Pantai Lok Kawi, Papar berjaya menemukan dua unit rim Perodua Myvi yang turut dipercayai hasil curi.

“Semua suspek direman selama empat hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 379A(1) Kanun Keseksaan manakala nilai rampasan pula dianggarkan sebanyak RM20,000.

“Hasil kejayaan operasi tersebut, polis berjaya menyelesaikan 10 kes kehilangan rim kenderaan yang dilaporkan di kawasan Tanjong Aru, Luyang, Inanam, Karambunai dan Menggatal,” katanya.

Menurutnya, semakan rekod lampau turut mendapati semua suspek mempunyai rekod kesalahan jenayah dan penyalahgunaan dadah.

Dalam perkembangan berasingan, polis turut berjaya menyelesaikan satu kes pecah rumah melibatkan kehilangan tiga jam tangan berjenama bernilai kira-kira RM40,000.

Syed Lot berkata, kes melibatkan satu laporan polis yang diterima pada 22 Mei lalu selepas mangsa mendapati kediamannya di Bay 21 Penthouse, Likas dipecah dan kehilangan dua utas jam tangan Rolex dan sebuah jam tangan Tissot.

“Bertindak atas risikan, polis menahan suspek pertama di Tuaran pada 16 Julai sebelum menahan dua lagi suspek dalam operasi susulan pada 23 Julai lalu.

“Siasatan lanjut membawa kepada rampasan satu resit pembayaran, dua jam tangan jenama Rolex dan Tissot yang dianggarkan bernilai RM30,000,” katanya.

Sehubungan itu, Syed Lot menasihatkan orang ramai supaya meningkatkan langkah keselamatan terhadap kenderaan dan kediaman masing-masing, termasuk memasang sistem kamera litar tertutup (CCTV).

Katanya, masyarakat juga digesa menyalurkan sebarang maklumat berkaitan kegiatan jenayah kepada pihak polis bagi membantu usaha membanteras jenayah dan memastikan keselamatan masyarakat sentiasa terpelihara. – Info X