Search

RM662,088 barang seludup dirampas, dua lelaki ditahan

August 4, 2026

Info X Reporters

TAWAU: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sabah merampas barangan kawalan bersubsidi dan rokok tidak berkastam bernilai RM662,088.26 termasuk cukai dalam lima kes sepanjang Julai lalu.

Pengarah Kastam Negeri Sabah, Dr Ahmad Taufik Sulaiman berkata, dua lelaki berusia lingkungan 40-an turut ditahan selepas siasatan susulan kes rampasan di Tawau.

Beliau berkata, dua kes di Tawau itu dikesan menerusi Operasi Joint Task Force (JTF) 2026 yang dilaksanakan bersama pihak Bea Cukai Indonesia, bermula 13 Julai hingga 14 Ogos ini.

“Bagi kes pertama, hasil maklumat risikan pada 27 Julai kira-kira jam 6.30 petang, sepasukan anggota Bahagian Penguatkuasaan Tawau menjalankan pemeriksaan di sebuah jeti tidak diwartakan.

“Pemeriksaan terhadap enam pengangkut terdiri daripada dua van panel, dua lori berkunci, sebuah bot laju dan sebuah bot kayu 15 tan membawa kepada penemuan pelbagai barangan kawalan bersubsidi serta barangan runcit,” katanya pada sidang media di Bahagian Penguatkuasaan JKDM Tawau, di sini, hari ini.

Menurutnya, pemeriksaan itu menemukan 1,100 kilogram (kg) beras super import, 1,105kg minyak masak paket, 690kg gula pasir dan 50 tong gas 14kg.

“Turut dirampas pelbagai barangan runcit tempatan dan barangan yang dipercayai dibawa masuk dari negara jiran.

“Nilai barang kes berjumlah RM347,484.13 dengan cukai RM4,114.69, menjadikan nilai keseluruhan termasuk cukai RM351,598.82,” katanya.

Ahmad Taufik berkata, modus operandi digunakan adalah membawa keluar dan masuk barangan kawalan bersubsidi tanpa mengikut prosedur ditetapkan melalui laluan tidak diwartakan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967 dan hasil siasatan lanjut membawa kepada penahanan dua lelaki berusia lingkungan 40-an yang disyaki terbabit,” katanya.

Dalam kes kedua pada 29 Julai kira-kira jam 8.30 malam, pasukan penguat kuasa mengesan dua bot melakukan aktiviti pemindahan barangan antara bot di perairan laut Kampung Hidayat, Tawau.

Katanya, ketika cuba dihampiri, sebuah bot melarikan diri ke arah Pulau Sebatik manakala sebuah lagi ditinggalkan.

“Pemeriksaan terhadap bot yang ditinggalkan menemukan 9,600 batang rokok kretek jenama Neslite serta 40,000 batang rokok putih jenama Mezzo dan VX.

“Nilai keseluruhan kes termasuk cukai ialah RM73,859.20, membabitkan nilai barang RM39,120 dan cukai RM34,739.20,” katanya.

Menurutnya, modus operandi digunakan adalah membawa masuk barangan kastam dari negara jiran menggunakan bot laju sebelum dipindahkan ke bot kecil untuk didaratkan di kawasan perkampungan atas air sekitar Tawau.

Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967.
Sementara itu, bagi kes ketiga pada 10 Julai, JKDM Kudat merampas 116,320 batang rokok pelbagai jenama bernilai RM106,170.24 termasuk cukai di sebuah stor tidak bernombor di Kampung Ranau, Kota Marudu.

Ahmad Taufik berkata, rokok tidak berkastam itu dipercayai disimpan di premis berkenaan sebagai tempat transit sebelum diedarkan ke pasaran tempatan.

Dalam kes keempat pada 27 Julai pula, pasukan penguat kuasa Kota Kinabalu menerusi Operasi JTF 2026 merampas 80,000 batang rokok putih jenama New Brand American Blend bernilai RM85,360 di sebuah stor blok bangunan terbiar di tepi Jalan Keningau-Kimanis-Papar.

“Premis terbiar itu dipercayai digunakan sebagai tempat transit untuk menyimpan rokok sebelum diedarkan,” katanya.

Bagi kes kelima pada 23 Julai, pasukan penguat kuasa Sandakan menjalankan sekatan jalan raya di Simpang Beluran, Jalan Sandakan-Ranau.

“Pemeriksaan menemukan 20,000 batang rokok jenama Premium International dan 30,000 batang New Brand bernilai RM45,100 termasuk cukai yang ditinggalkan di tepi jalan.

“Rokok berkenaan dipercayai ditinggalkan selepas pemandu sebuah kenderaan pacuan empat roda menyedari kehadiran pemeriksaan kastam,” katanya.

Ahmad Taufik berkata, kes ketiga hingga kelima disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 dan jika disabitkan kesalahan, pesalah boleh dikenakan hukuman penjara, denda atau kedua-duanya.

Beliau berkata, Operasi JTF 2026 dilaksanakan dengan kerjasama pihak Bea Cukai Indonesia, dengan operasi kali ini dijalankan di kawasan Malaysia manakala pihak Indonesia melaksanakan operasi di kawasan mereka.

Dalam pada itu, beliau menggesa orang ramai membantu JKDM membanteras kegiatan penyeludupan membabitkan rokok, minuman keras, mercun, kenderaan, dadah dan barangan lain.

“Penyeludupan bukan sahaja merugikan negara dari segi hasil, malah turut mendatangkan ancaman terhadap keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat.

“Orang ramai boleh menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti penyeludupan menerusi talian bebas tol Kastam 1-800-88-8855 atau pejabat kastam berhampiran dan identiti pemberi maklumat akan dirahsiakan,” katanya. – Info X