KUALA LUMPUR: Kerajaan Sabah dan Kerajaan Persekutuan memperkukuh kerjasama strategik dalam pembangunan industri halal menerusi beberapa projek berimpak tinggi yang dijangka menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi serta memperkukuh ekosistem halal di negeri ini.
Perkara itu dibincangkan dalam kunjungan hormat diketuai Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah merangkap Exco Agama, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif ke atas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr Zulkifli Hasan, di sini, semalam.
Turut menyertai kunjungan itu ialah delegasi daripada Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS), Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS), Perbadanan Baitulmal Negeri Sabah (PBNS), MUIS Holdings dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Sabah.

Mohd Arifin berkata, lawatan itu bertujuan mengadakan sesi libat urus serta berkongsi perkembangan semasa berkaitan hal ehwal Islam di Sabah, khususnya agenda pembangunan industri halal.
Katanya, tiga cadangan utama yang dibentangkan ialah pembangunan Makmal Halal Sabah, Central Cold Storage (pusat penyimpanan sejuk beku) serta kilang pemprosesan, penyimpanan dan pembungkusan beras.
“Hasil perbincangan menunjukkan ketiga-tiga cadangan itu mendapat sokongan sebagai usaha memperkukuh ekosistem industri halal di Sabah, sekali gus meningkatkan keupayaan negeri dalam sektor pemprosesan makanan, logistik dan jaminan pensijilan halal,” katanya.

Beliau berkata, kerjasama antara Kerajaan Negeri Sabah dan JAKIM turut akan diperkukuh melalui perkongsian kepakaran, bimbingan teknikal serta pertukaran pengetahuan bagi menyokong pembangunan industri halal dan memperkasa tadbir urus halal di Sabah.
Menurutnya, kerjasama itu penting bagi memastikan setiap pembangunan yang dirancang memenuhi piawaian serta standard halal yang ditetapkan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.
“Keutamaan ketika ini ialah pembangunan Makmal Halal Sabah. Kepakaran dan pengalaman JAKIM melalui fasiliti Makmal Analisis Halal Malaysia (MyHAC) akan dijadikan rujukan dalam aspek perancangan, pembangunan dan pengoperasian makmal berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, kewujudan Makmal Halal Sabah dijangka dapat mempercepatkan proses analisis dan pengesahan produk halal di negeri ini tanpa perlu bergantung kepada kemudahan di luar Sabah.
Dalam pada itu, Mohd Arifin berkata, pembangunan Central Cold Storage dan kilang pemprosesan, penyimpanan serta pembungkusan beras pula dijangka memperkukuh rantaian bekalan makanan halal, meningkatkan kecekapan logistik serta membuka lebih banyak peluang ekonomi kepada usahawan tempatan.
Katanya, pertemuan itu turut membincangkan pelbagai agenda berkaitan pembangunan hal ehwal Islam, kebajikan umat serta usaha memperkukuh kerjasama antara agensi negeri dan Persekutuan demi manfaat rakyat, khususnya di Sabah.
“Kerjasama ini mencerminkan komitmen berterusan kedua-dua pihak dalam mempererat hubungan, memperkukuh penyelarasan dasar serta memperluaskan kerjasama strategik bagi memperkasakan industri halal dan institusi Islam di Sabah,” katanya. – Info X