KOTA KINABALU: Dakwaan peruntukan RM945,000 bagi penganjuran malam ulang tahun Yayasan Sabah (YS) seperti didedahkan di media sosial sebelum ini belum mendapat kelulusan pihak pengurusan YS.
Pengerusi Eksekutif Innoprise Corporation Sdn Bhd, Datuk Jasnih Daya, berkata setakat pengetahuannya, belum ada cadangan atau permohonan bajet bagi tujuan itu dikemukakan kepada pihak pengurusan untuk kelulusan.
“Pihak Jawatankuasa Penganjur boleh mencadang dan memohon, tetapi tidak semestinya diluluskan,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Ahad.
Innoprise Corporation Sdn Bhd adalah anak syarikat Yayasan Sabah.
Jasnih berkata, bagi permohonan peruntukan dengan jumlah yang tinggi, kebiasaannya ia akan diteliti semula dan jumlahnya boleh dikurangkan mengikut keperluan.
Langkah itu, katanya, penting bagi memastikan perbelanjaan dibuat secara berhemah dan bagi mengelakkan pembaziran.
Beliau turut memberi jaminan bahawa Yayasan Sabah mempunyai mekanisme untuk mengawal perbelanjaan berlebihan.
“Keutamaan kami ialah rakyat Sabah. Insya-Allah,” katanya.
Jasnih turut berterima kasih kepada MAWAR Channel yang disifatkannya sebagai memberikan peringatan berhubung isu berkenaan.
Hantaran beliau dibuat susulan dakwaan pelbagai pihak di media sosial yang mempersoalkan kononnya sejumlah RM945,000 dibelanjakan bagi sambutan malam ulang tahun Yayasan Sabah. – Info X