Search

Armizan tidak perlu sibuk urusan parti lain – KDM

August 19, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) menyifatkan kenyataan Setiausaha Agung Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Armizan Mohd Ali, berhubung pendirian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paginatan, Datuk Rusdin Riman, sebagai tidak wajar kerana beliau didakwa tidak mempunyai kapasiti untuk bercakap bagi pihak pemimpin KDM itu.

Pegawai Jurugambar KDM, Barry Pulong, berkata Armizan sepatutnya tidak mencampuri urusan dalaman parti lain, selain menegaskan KDM mempunyai hak menentukan hala tuju politiknya sendiri.

“Umum mengetahui Armizan adalah Setiausaha Agung GRS. Namun, persoalannya mengapa beliau sibuk dengan urusan parti lain?


“Beliau sepatutnya mencermin diri terlebih dahulu sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung parti lain,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Barry berkata, KDM bukan anggota gabungan GRS, sebaliknya hanya memberikan sokongan kepada kerajaan negeri sebelum ini.

Menurutnya, KDM juga mempunyai hak dari segi undang-undang dan berdasarkan keputusan tertinggi parti untuk menarik balik sokongan sekiranya mendapati kerajaan pimpinan GRS gagal mentadbir Sabah dengan baik.

“KDM sebelum ini memberikan sokongan kepada pembentukan GRS dengan harapan satu pentadbiran yang saksama dapat diwujudkan.


“Namun, KDM berpandangan GRS gagal membantu rakyat Sabah dan keadaan rakyat ketika ini semakin tertekan,” katanya.

Beliau turut membangkitkan isu rasuah yang menurutnya masih belum diselesaikan, termasuk kes membabitkan lebih 10 ADUN GRS yang dikaitkan dengan rakaman video mengenai dakwaan rasuah.

Barry mendakwa isu berkenaan masih menjadi persoalan dan meminta GRS memberikan penjelasan sewajarnya kepada rakyat.

Dalam pada itu, beliau mendakwa Armizan bimbang sekiranya Presiden KDM mengumumkan keputusan parti untuk menarik balik sokongan terhadap kerajaan GRS, selain pembentukan satu blok parti tempatan Borneo bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

Katanya, Presiden KDM dalam ucapan pada satu majlis parti baru-baru ini memaklumkan bahawa pengumuman berkaitan blok tempatan berkenaan akan dibuat dalam masa terdekat.

“Semua perwakilan yang hadir menyambut baik hala tuju parti dan mahu pembentukan blok tempatan itu dilakukan segera supaya akar umbi dapat membuat persediaan awal menghadapi PRU16.

“Jika benar diwujudkan, ia akan menjadi satu sejarah baharu dalam politik Borneo,” katanya.

Barry pada masa sama menasihatkan Armizan supaya memberi tumpuan kepada isu yang dihadapi rakyat Sabah, termasuk kos sara hidup dan masalah bekalan serta harga diesel.

“Kami tahu bagaimana menguruskan parti kami dan tidak memerlukan campur tangan pihak luar,” katanya.

Beliau turut mendakwa pengundi Sabah, khususnya di Parlimen Papar, akan membuat pertimbangan terhadap kepimpinan sedia ada pada PRU16 akan datang.

Bagaimanapun, kenyataan itu merupakan pandangan pihak KDM dan segala dakwaan serta kritikan yang dibangkitkan wajar diberi ruang untuk dijawab oleh pihak GRS dan Armizan.-Info X