Search

AWCL: Misi ‘do or die’ lawan East Bengal FC – Bobby

August 21, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Ketua Jurulatih Sabah FA, Bobby Gonzales menyifatkan pertemuan pasukan bimbingannya dengan East Bengal FC dari India, Ahad ini, sebagai misi ‘do or die’.

Katanya, perlawanan akhir Kumpulan A aksi Peringkat Awal Liga Juara-Juara Wanita AFC (AWCL) 2026/2027 itu pasti sangat mencabar bagi anak buahnya.

Beliau berkata, misi itu terpaksa dilalui dan lebih penting Sabah tidak boleh kalah atau sekadar seri pada perlawanan itu nanti untuk mara ke pusingan seterusnya dalam saingan AWCL musim ini.

“Untuk ‘last game’ ini, bagi saya ia adalah misi ‘do or die’ kerana kita tidak boleh ‘draw’. Mahu atau tidak, kita mesti menang dalam perlawanan itu nanti kalau kita mahu layak ke peringkat seterusnya.

“Sekarang kita terpaksa buat percaturan, buat perancangan untuk menghalang kemaraan pasukan East Bengal dari India ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas perlawanan Rajshahi Stars FC dari Bangladesh menentang Sabah FC di Stadium Likas, di sini, malam tadi.

Bobby mengakui prestasi baik East Bengal yang menang besar 12-0 ke atas Rovers FC dari Guam dalam perlawanan kedua mereka petang semalam, selain menewaskan Rajshahi Stars 4-0 pada Isnin lalu.

“Kita juga tahu mereka ada pemain yang bagus, termasuk tiga pemain import. Jadi, kita kena kaji macam mana mahu cari kelemahan mereka pada perlawanan Ahad nanti,” katanya.

Sabah turut menang besar 13-0 ketika menentang Rovers FC pada Isnin lalu, namun hanya menang tipis 2-1 ketika berdepan Rajshahi Stars, malam tadi, sekali gus memberi kelebihan kepada East Bengal untuk mendahului Kumpulan A.

Sementara itu, mengulas persembahan anak buahnya ketika menentang Rajshahi Stars malam tadi, Bobby mengakui aksi pemain Sabah bermula agak perlahan apabila ditekan pasukan dari Bangladesh itu dari minit pertama perlawanan.

Beliau turut mengakui kelebihan pemain Bangladesh yang begitu baik dalam bola sepak dan hanya nasib lebih menyebelahi Sabah FA untuk memenangi perlawanan malam tadi.

“Saya pernah cakap dengan pemain bahawa Bangladesh bermain bola sangat baik, cuma kita bertuah hari ini kerana kita ada peluang dan berjaya menterjemahkannya kepada jaringan.

“Tapi dari segi persembahan, bagi saya, masih di bawah. Tapi saya puji juga pemain-pemain kerana mereka bersemangat dan bermati-matian sampai minit terakhir untuk berjuang hingga menang dalam perlawanan ini,” katanya.- Info X