BEAUFORT: Biarpun hanya dua kes dilaporkan, kecurian tayar kenderaan tetap jenayah yang tidak boleh dipandang ringan kerana mendatangkan kerugian dan menyusahkan pemilik.
Dua kejadian itu masing-masing dilaporkan berlaku di Kampung Bingkol dan tepi jalan Kampung Binunuk, di sini.
Susulan kejadian berkenaan, polis mengingatkan orang ramai supaya tidak memberi ruang kepada pencuri dengan meletakkan kenderaan di lokasi sunyi atau gelap.
Ketua Polis Daerah Beaufort, Superintendan Champin Piuh berkata, pihaknya memandang serius kejadian berkenaan dan meminta pemilik meningkatkan langkah keselamatan, khususnya pada waktu malam.
“Pastikan kenderaan diletakkan di kawasan selamat dan mempunyai pencahayaan mencukupi bagi mengurangkan risiko menjadi sasaran pencuri,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau turut menyeru anggota Skim Rondaan Sukarela (SRS), Kawasan Rukun Tetangga (KRT) dan penduduk meningkatkan rondaan serta pemantauan di kampung masing-masing.
Menurutnya, keselamatan kawasan kejiranan adalah tanggungjawab bersama dan kerjasama masyarakat amat penting dalam membantu polis mencegah jenayah. – Info X