Search

Hatrik pingat Marvell bantu gimnastik artistik Sabah capai sasaran

August 22, 2026

Info X Reporters

SUBANG JAYA: Hatrik pingat diraih Marvell Vincent Voo membantu skuad gimnastik artistik Sabah mencapai sasaran satu pingat emas pada SUKMA XXII Selangor 2026.

Atlet kebangsaan berusia 18 tahun itu menyumbang satu emas dan satu perak pada hari kedua terakhir pertandingan yang berlangsung di Dewan Canselor Tun Abdul Razak, Bangi, hari ini.

Marvell meraih emas dalam acara lantai lelaki selepas mengumpul 13.050 mata, sekali gus berkongsi jumlah mata sama dengan Nor Adam Haziq dari Kelantan.

Bagaimanapun, atlet kelahiran Tamparuli itu dinobatkan sebagai juara berdasarkan kiraan teknikal, manakala pingat gangsa menjadi milik Chew You Wei dari Pulau Pinang dengan 12.475 mata.

Marvell kemudian menambah koleksi peribadinya dengan pingat perak dalam acara kuda pelana selepas mengumpul 11.775 mata.

Pingat emas acara itu dimenangi Anson Tan dari Pulau Pinang dengan 12.225 mata, manakala Mann Chong Ming dari Selangor meraih gangsa dengan 11.575 mata.

Dua pingat yang diraih hari ini melengkapkan kutipan hatrik Marvell pada temasya kali ini selepas dia membantu skuad lelaki Sabah memenangi gangsa dalam acara berpasukan pada Khamis lalu.

Ketua jurulatih Sabah, Liew Tong Ee, berkata pihaknya amat berpuas hati apabila sasaran satu emas berjaya direalisasikan, selain masih mempunyai peluang menambah koleksi pingat pada hari terakhir pertandingan, esok.

“Kami sangat gembira dapat memenangi emas dan mencapai sasaran di SUKMA ini.

“Esok adalah hari terakhir pertandingan dan masih ada peluang untuk menang lagi,” katanya.

Turut menggalas cabaran Sabah dalam acara berpasukan ialah Addison Chang Sui Xin, Benny Angelloti Luise, Evan Emmanuel Walter, Leevan Savahi Moosom dan Lucas Immanuel Rijoh.-Info X