Search

30 emas di Selangor antara pencapaian terbaik Sabah

August 24, 2026

Info X Reporters

SUBANG JAYA: Kutipan 30 pingat emas, 27 perak dan 36 gangsa pada SUKMA XXII Selangor 2026 yang berakhir malam ini antara pencapaian terbaik Sabah dalam sejarah penyertaan temasya sukan dwi tahunan itu.

Pencapaian terbaik Sabah masih dicatat pada SUKMA Perak 2018 apabila kontinjen negeri itu membawa pulang 33 emas, 27 perak dan 46 gangsa.

Sabah turut mengutip 30 emas, 29 perak dan 39 gangsa pada SUKMA Kuala Lumpur 2022, manakala pada SUKMA Sarawak 2024, kontinjen negeri itu mengakhiri saingan dengan 29 emas, 36 perak dan 55 gangsa.

Pada edisi kali ini, Sabah menghantar kontinjen seramai 744 atlet, terdiri daripada 385 lelaki dan 359 wanita, selain 148 jurulatih serta 51 pengurus pasukan.

Kontinjen berkenaan mengambil bahagian dalam 36 daripada 37 jenis sukan yang dipertandingkan, membabitkan lebih 10,000 atlet daripada 15 kontinjen yang merebut 468 pingat emas.

Walaupun gagal mencapai sasaran 40 emas, pencapaian 30 emas kali ini bukan sahaja antara yang terbaik dalam sejarah penyertaan Sabah di SUKMA, malah mengatasi kutipan emas pada edisi Sarawak dua tahun lalu.

Sepak takraw, olahraga, petanque dan karate muncul antara penyumbang utama kutipan emas Sabah.

Skuad sepak takraw mengekalkan status sebagai pasukan terbaik dalam temasya itu selepas meraih lima emas dan satu perak daripada lapan emas yang ditawarkan.

Empat emas disumbangkan skuad wanita yang menyapu bersih semua acara dipertandingkan iaitu berpasukan, regu dua pemain, regu tiga pemain dan regu empat pemain, manakala satu lagi emas hadir menerusi acara regu dua pemain lelaki.

Pulau Pinang muncul pencabar terdekat dengan dua emas, manakala satu lagi emas menjadi milik tuan rumah Selangor.

Petanque turut menyerlah apabila Sabah mengungguli sukan berkenaan dengan empat emas dan satu perak daripada tujuh emas yang ditawarkan, dengan tiga lagi emas dikongsi Sarawak, Melaka dan Selangor.

Skuad olahraga pula menyumbang empat emas, tujuh perak dan empat gangsa daripada 47 emas yang dipertandingkan untuk menduduki tempat kelima terbaik.

Johor mengungguli olahraga dengan sembilan emas, lapan perak dan lima gangsa, diikuti Terengganu (7e, 3p, 3g), Wilayah Persekutuan (6e, 1p, 3g) dan Kelantan (5e, 2p).

Karate Sabah turut mencatat pencapaian membanggakan apabila meraih tiga emas, tiga perak dan tiga gangsa daripada 15 emas yang ditawarkan, sekali gus muncul pasukan terbaik dalam sukan berkenaan.

Sabah mengatasi Johor (2e, 2p, 3g), Perak (2e, 1p, 5g), Selangor (2e, 1p, 3g) dan Terengganu (2e, 1p, 1g).

Pencak silat menyumbang dua emas, dua perak dan tiga gangsa, gimnastik artistik (2e, 1p, 1g), memanah (2e, 1p, 1g), pelayaran (2e, 3g), wushu (2e, 3g) dan menembak (2e).

Sukan lain turut menyumbang menerusi akuatik renang (1e, 2g), boling padang (1e), tinju (4p, 2g), muaythai (3p, 3g), angkat berat (1p, 2g), bola sepak wanita (1p), e-sukan (1p), golf (1p), akuatik terjun (2g), lawan pedang (2g), judo (2g), berbasikal (1g), ragbi wanita (1g) dan tenpin boling (1g).

Atlet gimnastik artistik lelaki, Marvell Vincent Voo, muncul penyumbang pingat emas individu terbanyak Sabah apabila meraih dua emas menerusi acara senam lantai dan palang sejajar.

Atlet berusia 18 tahun itu turut menyumbang satu perak dalam acara kuda pelana serta membantu pasukan Sabah meraih gangsa dalam acara berpasukan.

Sementara itu, tuan rumah Selangor muncul juara keseluruhan SUKMA XXII dengan 101 emas, 73 perak dan 71 gangsa, jauh meninggalkan Wilayah Persekutuan yang mengutip 51 emas, 54 perak dan 52 gangsa.

Sabah mengekalkan kedudukan di tangga kelapan keseluruhan, di belakang Terengganu (41e, 44p, 35g), Sarawak (40e, 40p, 62g), Pulau Pinang (38e, 54p, 59g), Johor (36e, 52p, 43g) dan Perak (31e, 33p, 50g).

Pasukan di bawah Sabah ialah Pahang (28e, 19p, 34g), Melaka (19e, 12p, 15g), Perlis (17e, 7p, 17g), Kedah (14e, 22p, 45g), Kelantan (14e, 5p, 16g), Negeri Sembilan (7e, 11p, 28g) dan Brunei (0e, 4p, 6g).-Info X