Search

Limau manis Beaufort, rumbia akan dikembangkan semula – Ruslan

August 27, 2026

Info X Reporters

BEAUFORT: Imej daerah ini sebagai pengeluar limau manis terkenal di Sabah satu ketika dahulu, selain memiliki tanaman rumbia yang luas akan dipulihkan menerusi usaha mengembangkan semula kedua-dua tanaman itu.

Pembantu Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan negeri, Datuk Ruslan Muharam, berkata ketika ini pihaknya dengan kerjasama Jabatan Pertanian Daerah sedang mengenal pasti tanah yang sesuai untuk limau manis dan rumbia.

Katanya, perbincangan awal mengenai perkara itu turut membabitkan Pegawai Daerah Beaufort dan Jabatan Tanah dan Ukur (JTU) dengan tumpuan projek itu di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lumadan.

“Langkah pertama adalah mengenal pasti tanah kerajaan yang sesuai dan berpotensi untuk dibangunkan dengan tanaman rumbia dan limau manis.

“Apabila kawasan yang sesuai sudah dikenal pasti, saya akan turun sendiri ke lapangan bersama agensi berkaitan untuk melihat keadaan serta potensi kawasan itu

“Kita mahu melihat perkara ini bukan sekadar di atas kertas, tetapi ada tindakan susulan di lapangan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Ruslan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lumadan, berkata tanaman rumbia mempunyai nilai ekonomi yang besar, khususnya penghasilan sagu, selain berpotensi menyumbang kepada sektor agro-pelancongan dan peningkatan pendapatan masyarakat.

Ruslan meninjau kebun limau manis yang masih mengeluarkan hasil di Beaufort.

Beliau berkata, usaha menghidupkan semula rumbia juga penting bagi memastikan tanaman berkenaan tidak terus berkurangan akibat perubahan kepada tanaman lain seperti kelapa sawit.

“Rumbia adalah sebahagian daripada tanaman yang mempunyai nilai ekonomi dan warisan kepada masyarakat kita. Kita mahu melihat tanaman ini dihidupkan semula dan dikembangkan secara terancang,” katanya.

Dalam pada itu, Ruslan berkata tanaman limau manis turut mempunyai potensi untuk dikembangkan di kawasan yang bersesuaian, sekali gus membuka peluang baharu kepada petani tempatan.

Beliau berkata, hasil perbincangan awal bersama agensi berkaitan akan dibawa ke Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah (MAFFI) untuk pertimbangan serta tindakan selanjutnya.

“Matlamat kita adalah untuk memanfaatkan tanah yang sesuai, memperkukuh keterjaminan makanan dan pada masa sama mewujudkan peluang ekonomi baharu kepada rakyat, khususnya di Lumadan,” katanya. – Info X