Search

Gagasan Rakyat umum senarai gabungan muka lama, baharu Ketua Bahagian

August 29, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) hari ini mengumumkan pelantikan 25 Ketua Bahagian (Penaja) yang baharu melalui penstrukturan semula bahagian mengikut kawasan Parlimen.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor yang juga Presiden PGRS, berkata penstrukturan dan pelantikan itu sebagai satu langkah penting memperkukuh struktur organisasi serta memperkasa kepimpinan parti di peringkat bahagian.

Katanya, pelantikan itu menampilkan satu barisan kepimpinan yang menggabungkan pemimpin senior yang berpengalaman, tokoh muda yang bertenaga serta beberapa muka baharu yang mempunyai latar belakang, kepakaran dan pengalaman dalam pelbagai bidang.

“Gabungan ini mencerminkan kesungguhan PGRS untuk membina barisan kepimpinan yang lebih dinamik, inklusif dan dekat dengan rakyat.

“Pemilihan 25 Ketua Bahagian (Penaja) ini dibuat setelah mengambil kira faktor pengalaman, kemampuan memimpin, rekod khidmat kepada masyarakat, penerimaan di peringkat akar umbi serta keupayaan untuk menggerakkan organisasi secara berkesan dan efektif,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Ahli Majlis Tertinggi PGRS, di sini, pada Sabtu.

Hajiji yang juga Presiden PGRS dan Ketua Bahagian Tuaran, berkata kehadiran pemimpin senior akan terus menjadi sumber pengalaman dan panduan strategik kepada parti, manakala penglibatan pemimpin muda serta muka baharu akan membawa idea, pendekatan dan tenaga baharu dalam memperkukuh gerak kerja organisasi.

Jelasnya, pelantikan itu bukan sekadar pengisian jawatan, sebaliknya sebahagian daripada usaha membina kepimpinan merentas generasi yang mampu bergerak seiring dalam menghadapi cabaran politik dan tuntutan masyarakat semasa.

“Kita mahu membina satu pasukan yang menggabungkan pengalaman dengan tenaga baharu. Pemimpin senior mempunyai pengalaman dan kebijaksanaan yang sangat bernilai, manakala pemimpin muda dan muka baharu membawa perspektif serta idea yang segar.

“Gabungan ini penting supaya organisasi kita tidak hanya kukuh dari segi pengalaman, tetapi juga sentiasa bersedia melakukan pembaharuan dan bergerak mengikut perkembangan semasa.

“Ketua Bahagian (Penaja) yang dilantik mempunyai tanggungjawab besar untuk memperkemas organisasi, memperkukuh jaringan akar umbi dan memastikan parti sentiasa membawa aspirasi dan dekat dengan rakyat,” katanya.

Beliau berkata, pelantikan 25 Ketua Bahagian (Penaja) itu juga akan memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh struktur bahagian, memperluaskan keahlian, menggerakkan aktiviti di peringkat akar umbi serta membentuk pasukan kepimpinan yang berkesan di setiap kawasan.

Hajiji turut menegaskan bahawa kekuatan sesebuah organisasi bukan hanya bergantung kepada individu yang memimpin, tetapi kepada kerjasama seluruh pasukan serta keupayaan kepimpinan bahagian menterjemahkan agenda parti dalam bentuk khidmat yang dirasai masyarakat.

“Kita mahu setiap bahagian menjadi organisasi yang hidup, aktif dan benar-benar memahami denyut nadi rakyat. Ketua Bahagian bukan sekadar memegang jawatan, tetapi memikul amanah untuk membina organisasi, menyatukan ahli dan membawa suara masyarakat ke peringkat yang lebih tinggi.

“Pelantikan ini diharapkan menjadi titik tolak kepada pembentukan satu saf kepimpinan baharu yang lebih kukuh, tersusun dan bersedia menghadapi cabaran masa hadapan.

“Dengan menggabungkan pengalaman pemimpin senior, semangat anak muda dan penyertaan muka-muka baharu, kepimpinan PGRS yakin barisan 25 Ketua Bahagian (Penaja) ini mampu memberikan nafas baharu kepada organisasi serta memperkukuh keyakinan masyarakat terhadap perjuangan parti,” katanya.

Hajiji turut mengucapkan tahniah kepada kesemua 25 Ketua Bahagian (Penaja) yang dilantik dan berharap mereka dapat melaksanakan amanah dengan penuh integriti, komitmen serta semangat berpasukan demi kepentingan parti dan rakyat.

Senarai Ketua Bahagian PGRS ialah Datuk Seri Ruddy Awah (Kudat), Sarapin Magana (Kota Marudu), Datuk Mohd Arsad Bistari (Kota Belud), Datuk Seri Hajiji Noor (Tuaran), Datuk Mohamed Razali Mohamed Razi (Sepanggar), Datuk Faisyal Diego (Kota Kinabalu), Shah Alfie Yahya (Putatan), Datuk Ceasar Mandela Malakun (Penampang), Datuk Seri Gulamhaidar Khan Bahadar (Papar), Datuk Mohd Arifin Mohd Arif (Kimanis) dan Datuk Isnin Aliasnih (Beaufort).

Selebihnya ialah Datuk Dr Yusof Yacob (Sipitang), Datuk Seri Masidi Manjun (Ranau), Datuk Azman Ruslan (Keningau), Datuk Rubin Balang (Tenom), Datuk Abdul Ghani Yassin (Pensiangan), Datuk James Ratib (Beluran), Datuk Hazem Mubarak Musa (Libaran), Datuk George Hiew Vun Zin (Batu Sapi), Datuk Awang Kadin Tang (Sandakan), Datuk Maiung Banah (Kinabatangan), Ir Rajesh Yusof (Lahad Datu), Datuk Dr Mohd Jasmin Julpin (Semporna), Datuk Nizam Abu Bakar Titingan (Tawau) dan Dr Andi Shamsureezal Mohd Sainal. – Info X