Search

JAS tingkatkan penguatkuasaan di lokasi berpotensi berlaku pembakaran terbuka

August 30, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Jabatan Alm Sekitar (JAS) Sabah memberi amaran meningkatkan penguatkuasaan dan rondaan harian ke kawasan berpotensi berlaku pembakaran terbuka dan memantau bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) berikutan cuaca panas dan kering ketika ini.

Pengarahnya, Nor Rashidah Mohd Ghazali, berkata setakat ini sebanyak 474 rondaan Operasi Mencegah Pembakaran Terbuka (OMPT) telah dijalankan.

Berikutan itu, JAS menasihatkan orang ramai merujuk bacaan IPU terkini setiap jam melalui laman web JAS di laman sesawang, http://apims.doe.gov.my/ atau dengan memuat turun aplikasi telefon pintar rasmi MyIPU di ‘Play store’.

Katanya, orang ramai juga boleh melayari laman web Kementerian Kesihatan Malaysia (www.moh.gov.my) bagi mendapatkan nasihat kesihatan dan langkah-langkah pencegahan semasa jerebu.

“Orang ramai diingatkan agar tidak melakukan pembakaran terbuka
atau membiarkan tanah atau premis kepunyaan mereka dimasuki atau dicerobohi oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab sehingga menyebabkan pembakaran terbuka untuk tujuan tertentu atau dengan tidak sengaja.

“Menurut Seksyen 29(A), Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, mereka yang disabitkan dengan kesalahan melakukan pembakaran terbuka boleh dikenakan denda tidak kurang RM25,000 dan tidak melebihi RM 1,000,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.

“Kompaun maksimum sebanyak RM2,000 atau tidak melebihi RM500,000 juga boleh dikenakan atas kesalahan melakukan pembakaran terbuka,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Beliau turut meminta orang ramai bekerjasama untuk memadam kebakaran kecil dan melaporkan kes pembakaran terbuka atau
kebakaran kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM) di talian 999 dan JAS di talian bebas tol, 1-800-88-2727.

Sementara itu, katanya setakat hari ini, IPU yang direkodkan di laman sesawang JAS Sabah pada jam 5 petang menunjukkan satu stesen mencatat bacaan tidak sihat iaitu 142 dan lima kawasan pada tahap sederhana iaitu stesen Kota Kinabalu (97), Kimanis (95), Keningau (93), Sandakan (78) dan Tawau (79).

Jelasnya, keadaan itu berpunca daripada jerebu rentas sempadan akibat kebakaran hutan dan tanah gambut di Kalimantan yang menyebabkan asap tebal daripada kebakaran dibawa tiupan angin ke wilayah Borneo, termasuk Sabah.

“JBPM Sabah juga melaporkan kebakaran 202 rumah setinggan atas air di Kampung Numbak, Kota Kinabalu pada awal pagi 30 Ogos yang turut menyumbang kepada kemerosotan kualiti udara setempat.

“Tiada sebarang kejadian kebakaran besar lain di sekitar Kota Kinabalu yang dilaporkan oleh JBPM Sabah.

“Berdasarkan laporan oleh ASMC yang berpusat di Singapura pada 29 Ogos 2026, imej satelit National Oceanic and Atmospheric Administration (NOAA) 20, mengesan dua titik panas (hotspot) di Tuaran dan Kota Belud.

“Titik panas ini dikesan di kawasan
belukar dan kebakaran telah padam sepenuhnya dengan tiada hotspot dikesan di lokasi sama bagi cerapan 30 Ogos 2026,” katanya.

Beliau berkata, paparan ASMC pada 30 Ogos 2026 menunjukkan dua titik panas dikesan di Kampung Numbak yang melibatkan kebakaran rumah setinggan atas air.

Sementara itu, katanya sebanyak 1,107 titik panas dikesan di Kalimantan bagi cerapan pada 29 Ogos 2026.

Sementara itu, katanya Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan menetapkan beberapa tahap amaran dengan berpandukan nilai bacaan IPU semasa.

Secara umum, katanya bacaan IPU dari 101-200 memberi petunjuk kesan kesihatan Tidak Sihat; IPU 201-400 Sangat Tidak Sihat dan 400-500> adalah Sangat Bahaya.

“Apabila IPU mencecah bacaan 200, sekolah, tadika dan taska akan ditutup SERTA MERTA,” katanya. – Info X