Search

TYT, KM hadiri sambutan Hari Kebangsaan Hari Sabah di Dataran Bandaraya

August 31, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor mengiringi Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman pada sambutan Hari Kebangsaan Hari Sabah 2026 di Dataran Bandaraya, Jalan Tun Fuad Stephens, di sini, pada Isnin.

Beliau bersama isteri, Datin Seri Juliah Salag, tiba pada jam 7.25 pagi dan menerima tabik hormat daripada Pasukan Kawalan Kehormatan Utama sebelum menyambut ketibaan Tun Musa bersama isteri, Toh Puan Faridah Tussin.

Sambutan dimulakan dengan lagu Negaraku dan Sabah Tanah Airku, diikuti Istiadat Hormat Diraja serta pemeriksaan Kawalan Kehormatan Utama oleh Yang di-Pertua Negeri Sabah.

Upacara menaikkan Jalur Gemilang dan Bendera Negeri Sabah, lafaz Ikrar Rukun Negara serta persembahan koir, turut mewarnai sambutan.

Acara berjalan lalu kemudian menyaksikan perarakan Jalur Gemilang, Bendera Negeri Sabah, bendera semua negeri di Malaysia dan bendera tema Kebangsaan 2026, diikuti kontinjen perbarisan serta kategori kenderaan.

Sambutan turut dimeriahkan dengan persembahan khas Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah dan Persembahan Aneka Warna sebelum majlis selesai pada kira-kira jam 10.30 pagi. – Info X