TUARAN: Masalah teknikal dipercayai menyebabkan sebuah bas membawa 35 pelajar dan seorang guru pengiring hilang kawalan sebelum terbabit kemalangan di Kampung Bongol, Jalan Tamparuli-Ranau, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira 10.20 pagi itu, bas berkenaan memasuki laluan bertentangan dan bergesel dengan Perodua Alza sebelum melanggar lereng bukit lalu rebah serta terkena Toyota Hiace.
Ketua Polis Daerah Tuaran, Superintendan Noraidin Ag Maidin berkata, siasatan awal mendapati bas berkenaan membawa pelajar dari Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Ranau menuju ke Sekolah Menengah Sains Sabah di Tuaran.

“Ketika melalui kawasan selekoh dan menuruni bukit, bas berkenaan dipercayai mengalami masalah teknikal sebelum hilang kawalan lalu memasuki lorong bertentangan dan bergesel dengan Perodua Alza.
“Bas itu kemudian bergerak ke bahu jalan dan melanggar lereng bukit sebelum rebah serta terkena sebuah van yang berada di lokasi,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, seorang guru pengiring dan beberapa pelajar mengalami kecederaan ringan serta menerima rawatan di Hospital Kota Belud dan Hospital Tuaran.
“Semua mangsa yang menerima rawatan sudah dibenarkan keluar dari hospital dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan,” katanya.

Noraidin berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut diteruskan bagi mengenal pasti punca sebenar kemalangan.
Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian boleh menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Gibil di talian 088-791966 atau 013-8626806.
Beliau turut menasihatkan pengendali kenderaan membawa penumpang supaya sentiasa memastikan kenderaan berada dalam keadaan baik dan selamat sebelum memulakan perjalanan. – Info X