BEAUFORT: Remaja lelaki maut selepas motosikal ditunggangnya terbabas sebelum melanggar penghadang besi di Jalan Kota Klias – Kampung Betandok, di sini, malam tadi.
Dalam kejadian 8.14 malam itu, mangsa berusia 17 tahun mengalami kecederaan pada muka dan anggota badan sebelum disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Hospital Beaufort.
Ketua Polis Daerah Beaufort, Superintendan Champin Piuh berkata, siasatan awal mendapati mangsa dalam perjalanan dari Kampung Betandok menuju ke Kampung Kota Klias.
“Setibanya di lokasi kejadian yang melalui jalan berselekoh, mangsa dipercayai hilang kawalan sebelum motosikalnya terbabas ke tepi jalan dan melanggar penghadang besi,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Khairul Shazree Hashim di talian 010-2531451 atau tampil di mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.
Sementara itu, Champin turut menasihatkan pengguna jalan raya supaya sentiasa berhati-hati, khususnya ketika melalui jalan berselekoh, selain memastikan kenderaan berada dalam keadaan baik dan mematuhi peraturan lalu lintas. – Info X