Search

Isteri mahu cerai, suami ugut dengan parang

September 7, 2026

Info X Reporters

TAWAU: Hasrat seorang wanita mahu bercerai dipercayai menjadi punca dia diugut suaminya menggunakan parang di kawasan pusat pemeriksaan Kilometer 52, di sini, Jumaat lalu.

Mangsa warga asing berusia 30-an turut bergelut dengan suspek bagi merampas parang berkenaan sebelum membuat laporan polis.

Pemangku Ketua Polis Daerah Tawau, Superintendan Wilynton Enchana Watt berkata, ketika kejadian, pasangan itu dalam perjalanan dari Tawau menuju ke Semporna dengan menaiki Perodua Axia.

“Suspek memberhentikan kenderaan di lokasi kejadian sebelum keluar dan mengambil sebilah parang pendek dari bahagian belakang kereta.

“Lelaki itu kemudian mengacukan parang ke arah mangsa yang berada di dalam kenderaan sambil mengeluarkan kata-kata ugutan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, hasil siasatan mendapati kejadian dipercayai berpunca daripada hasrat mangsa untuk bercerai dengan suspek.

Katanya, suspek warga tempatan berusia 40-an berjaya dikesan di sekitar bandar Tawau sebelum ditahan kira-kira 2 pagi semalam.

“Polis turut merampas sebuah Perodua Axia berserta anak kuncinya bagi membantu siasatan.

“Suspek ditahan dan kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan,” katanya.

Wilynton menegaskan, polis akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu yang melakukan ugutan jenayah, selain memastikan keselamatan mangsa sentiasa diberi perhatian. – Info X