Search

Polis Sabah terima 13 laporan isu ucapan Ketua UMNO Sepang

September 17, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Polis Sabah menerima 13 laporan berhubung ucapan Ketua UMNO Bahagian Sepang, Datuk Noorazli Said yang didakwa menyentuh sensitiviti agama.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun berkata, semua laporan diterima sehingga tengah hari tadi daripada pelbagai lapisan masyarakat termasuk pemimpin setempat.

Katanya, laporan berkenaan dirujuk kepada laporan awal yang dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kelana Jaya bagi membolehkan siasatan dijalankan secara menyeluruh.

“Semua laporan berkenaan sudah dirujuk kepada laporan awal di IPD Kelana Jaya dan tindakan siasatan sedang dijalankan pihak berkuasa,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Pembukaan Lawatan Awam ke Galeri Polis Negeri Sabah di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, hari ini.

Sementara itu, Jauteh turut menasihatkan orang ramai supaya tidak bertindak mengikut emosi ketika isu berkenaan masih mendapat perhatian dan tular di media sosial.

“Kita berharap masyarakat melihat perkara ini secara matang. Laporan yang dibuat sudah diambil tindakan oleh PDRM bagi memastikan siasatan dilaksanakan secara telus,” katanya.

Isu berkenaan mendapat perhatian selepas rakaman ucapan Noorazli pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) baru-baru ini tular di media sosial.

Ucapannya yang didakwa membuat jenaka mengaitkan paderi dan biarawati Kristian mencetuskan pelbagai reaksi serta membawa kepada laporan polis dibuat di seluruh negara. – Info X