TAWAU: Seorang wanita mengalami lebam dan kecederaan pada beberapa bahagian badan selepas dipercayai ditendang serta diketuk di kepala menggunakan hulu parang oleh suaminya.
Kejadian dipercayai berlaku susulan perselisihan faham pasangan berkenaan di sebuah rumah di Kampung Muhibbah Raya, di sini, pada 11 September lalu.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Rosdi Mat Jusoh berkata, suspek lelaki tempatan berusia 41 tahun ditahan kira-kira jam 3.25 petang semalam selepas mangsa membuat laporan polis.
“Siasatan awal mendapati suspek dipercayai menendang belakang badan mangsa sebelum mengetuk kepalanya menggunakan hulu parang.
“Mangsa kemudian keluar dari rumah dan tinggal di kediaman adiknya sebelum membuat laporan polis selepas mendakwa masih diganggu suspek,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 18A Akta Keganasan Rumah Tangga 1994.
Sementara itu, Rosdi berkata polis menasihatkan orang ramai supaya tidak membenarkan pihak lain menggunakan atau membawa kenderaan milik mereka tanpa kebenaran, termasuk menyerahkan dokumen berkaitan kenderaan kepada pihak lain.
“Sekiranya menerima sebarang ugutan atau ancaman, segera laporkan kepada polis dan jangan mengambil tindakan sendiri,” tambahnya. – Info X