TAWAU: Seramai 61 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Filipina dihantar pulang ke negara asal menerusi laluan laut dalam Program Pemindahan Tahanan PATI Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah, semalam.
Pengarah JIM Sabah, Datuk Sitti Saleha Habib Yussof berkata, kesemua tahanan berkenaan dipindahkan dari Depot Imigresen Tawau melalui Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Lahad Datu ke Pelabuhan Bongao, Filipina.
Katanya, mereka dihantar menggunakan perkhidmatan feri komersial dan terdiri daripada 43 lelaki dewasa, sembilan wanita dewasa, empat kanak-kanak lelaki serta lima kanak-kanak perempuan.
“Kesemua tahanan berusia antara enam hingga 65 tahun, manakala kanak-kanak yang menyertai program ini turut diiringi ibu bapa atau pengiring masing-masing,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, dengan penghantaran terbaru itu, jumlah tahanan PATI yang sudah dipindahkan ke negara asal sepanjang 2026 kini mencecah 5,294 orang.

“Daripada jumlah itu, 3,516 adalah warga Filipina, Indonesia (1,488), Pakistan (120), China (127), Vietnam (21) dan lain-lain kewarganegaraan seramai 22 orang,” katanya.
Menurutnya, kesemua tahanan berkenaan sudah selesai menjalani hukuman mengikut peruntukan undang-undang ditetapkan dan memiliki Dokumen Perjalanan (TD) yang sah sebelum dibenarkan mengikuti proses pemindahan ke negara asal.
Dalam pada itu, Sitti Saleha menyeru orang ramai supaya tidak bersekongkol melindungi atau menggaji PATI serta segera melaporkan sebarang kegiatan membabitkan pendatang tanpa izin kepada pihak berkuasa.
“Kerjasama orang ramai amat penting dengan menyalurkan maklumat melalui saluran rasmi JIM Sabah bagi membantu usaha penguatkuasaan dan membendung kehadiran PATI.
“Aduan boleh disalurkan menerusi Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) atau Sistem Pertanyaan Online (SPO) Jabatan Imigresen Malaysia,” katanya. – Info X