Search

Prestasi sistem bekalan elektrik di Sabah meningkat dengan ketara – KM

September 21, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Prestasi sistem bekalan elektrik di Sabah menunjukkan peningkatan yang ketara sejak kuasa mengawal selia sektor elektrik dan tenaga boleh baharu diambil alih kerajaan negeri.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata pengambilalihan itu membolehkan kerajaan negeri melaksanakan sendiri projek peningkatan bekalan elektrik, berbanding menunggu kelulusan Suruhanjaya Tenaga (ST) Persekutuan sebelum ini.

Katanya, sebelum ini, tempoh empat hingga lima tahun diambil untuk mendapatkan kelulusan permohonan daripada Suruhanjaya Tenaga Persekutuan.

“Tapi, sejak kita mengambil alih, kita boleh melaksanakannya sendiri dan meningkatkan sistem bekalan elektrik kita dengan lebih cepat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mempengerusikan mesyuarat Majlis Tenaga Sabah (MTS) di Menara Kinabalu, di sini, pada Isnin.

Kerajaan negeri mengambil alih kuasa kawal selia elektrik dan tenaga boleh baharu berikutan kelulusan Enakmen Bekalan Elektrik 2024, Enakmen Tenaga Boleh Baharu Sabah 2024 dan Enakmen Pindaan Suruhanjaya Tenaga Sabah (ECoS) 2024 di Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 3 Januari 2024.

Setahun sebelum itu, Sabah mengambil alih kuasa kawal selia bekalan gas di negeri ini.

Hajiji berkata, jidar simpanan penjanaan tenaga di Sabah dijangka mencapai 26 peratus menjelang akhir tahun ini.

“Jidar simpanan tenaga di negeri ini meningkat daripada paras terendah lapan peratus pada 2024 kepada 19 peratus setakat Ogos tahun ini.

“Pada masa sama, Indeks Tempoh Gangguan Purata Sistem (SAIDI) bertambah baik daripada 598 minit pada 2023 kepada 226 minit setakat Julai tahun ini,” katanya.

Katanya, perkembangan itu adalah hasil pelbagai inisiatif penambahbaikan sistem grid yang dilaksanakan secara berterusan.

Jelasnya, pengukuhan sektor tenaga Sabah perlu dilaksanakan secara menyeluruh, termasuk kesiapsiagaan infrastruktur penghantaran dan pembahagian bagi meningkatkan daya harap dan keanjalan sistem.

“Ini selaras dengan Sabah Energy Roadmap and Master Plan (SE-RAMP 2040) serta sasaran mencapai 50 peratus campuran kapasiti tenaga boleh baharu menjelang 2035,” katanya.

Pada Mesyuarat Majlis Tenaga Sabah (MTS) di Menara Kinabalu, hari ini, beberapa perkara dibincang termasuk berkaitan semakan Kajian Unjuran Beban Jangka Panjang (LTDF 2026) dan Pelan Pembangunan Penjanaan Elektrik (PDP2026) untuk tempoh 10 tahun.

Hajiji berkata, langkah itu bagi memastikan perancangan kapasiti sentiasa dapat memenuhi keperluan permintaan tenaga di negeri ini.

Sementara itu, katanya bagi memperkukuh bekalan tenaga di Pantai Timur, pembangunan loji janakuasa gas di Sandakan dan Tawau turut dirancang bagi menggantikan loji berasaskan diesel dan Medium Fuel Oil (MFO) yang berkos tinggi.

“Penambahan kapasiti Solar Berskala Besar (LSS) dan Sistem Penyimpanan Tenaga Bateri (BESS) yang dilaksanakan melalui proses bidaan kompetitif juga akan menyokong pengukuhan sistem penjanaan,” katanya.

Katanya, projek LSS dan BESS dilaksanakan khusus untuk meningkatkan kebolehpercayaan penjanaan tenaga elektrik di Pantai Timur.

Hajiji berkata, setiap keputusan MTS dibuat secara seimbang dan berhemah dengan mengutamakan keterjaminan bekalan, kos sistem yang optimum, keperluan industri serta kepentingan pengguna untuk menikmati bekalan elektrik pada kadar yang berpatutan.

Beliau berkata Kerajaan Negeri melalui ECoS selaku badan kawal selia sektor tenaga negeri akan terus memantau pelaksanaan projek yang sudah diluluskan bagi memastikan ia disiapkan mengikut jadual dan memberi manfaat sebenar kepada kebolehpercayaan sistem. – Info X