Search

12 premis makanan diarah tutup, ada masalah tikus, lipas

September 25, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Sebanyak 12 premis makanan sekitar bandar raya ini diarah tutup selepas pemeriksaan mendapati antaranya mempunyai masalah urungan perosak termasuk tikus dan lipas.

Pejabat Kesihatan Kawasan Kota Kinabalu (PKKK) menerusi kenyataan di Facebook hari ini memaklumkan, tindakan itu hasil Ops Bersepadu Penguatkuasaan Akta Makanan 1983 dan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852).

Menurut kenyataan itu, operasi membabitkan 56 anggota dijalankan di beberapa lokaliti sekitar Asia City, Bandaran Berjaya, Api-Api dan Warisan Square.

“Sebanyak 62 premis makanan diperiksa membabitkan 56 restoran, empat kiosk atau gerai dan dua bakeri.

“Hasil pemeriksaan mendapati 12 premis perlu diambil tindakan penutupan dengan sembilan daripadanya mempunyai masalah urungan perosak seperti tikus dan lipas.

“Tiga lagi premis memperoleh markah pemeriksaan kebersihan kurang daripada 65 peratus,” menurut kenyataan itu.

Dalam operasi sama, sebanyak 42 Notis Kompaun Seksyen 32B Akta Makanan 1983 dikeluarkan atas pelbagai ketidakpatuhan terhadap Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009.

Antara kesalahan dikesan membabitkan kebersihan dan penyelenggaraan premis, kawalan perosak, pengurusan sampah, pakaian dan kebersihan diri pengendali serta kaedah penyimpanan makanan.

Selain itu, lapan Notis Borang 2 dikeluarkan bagi penguatkuasaan Akta 852, namun tiada rampasan barangan direkodkan.

Pegawai Kesihatan Kawasan Kota Kinabalu, Dr Nirmal Kaur turut berada di lapangan bagi meninjau pelaksanaan pemeriksaan dan penguatkuasaan berkenaan.

Menurut PKKK, operasi itu adalah sebahagian usaha berterusan meningkatkan tahap kebersihan premis makanan serta memastikan makanan disediakan kepada pengguna bersih dan selamat. – Info X