Search

Menara telekomunikasi ‘dijilat’ api

September 26, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Sebuah menara telekomunikasi terbakar sehingga 70 peratus di Kampung Rampayan, Manggatal, di sini, pagi tadi.

Kejadian jam 9.20 pagi itu sempat dirakam orang awam dengan api kelihatan marak pada bahagian menara berkenaan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas, Penolong Kanan Penguasa Bomba Noor Sherriyana Bohari berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 9.31 pagi.

Katanya, lima anggota bersama sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) digerakkan ke lokasi di AKM Hardware Trading, Kampung Rampayan, Jalan Tuaran Bypass.

“Pasukan tiba pada jam 9.40 pagi dan mendapati kebakaran membabitkan sebuah menara telekomunikasi yang dianggarkan terbakar 70 peratus.

“Operasi pemadaman dilakukan menggunakan satu aliran sepanjang kira-kira 30 meter dengan satu pancutan menggunakan sumber air daripada jentera,” katanya.

Menurutnya, kebakaran berjaya dikawal pada jam 9.56 pagi dan tiada mangsa dilaporkan terbabit.

Katanya, operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 10.55 pagi selepas pemeriksaan dilakukan bagi memastikan tiada bahaya lain di lokasi.

“Punca kebakaran dan jumlah kerugian belum dinyatakan,” katanya. – Info X