LAHAD DATU: Aktiviti memindahkan isirung kelapa sawit dari sebuah lori treler ke premis tidak bernombor membongkar kegiatan penyimpanan komoditi itu tanpa lesen membabitkan rampasan bernilai RM709,000 di Jalan POIC, di sini, semalam.
Serbuan Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah itu membawa kepada penahanan dua lelaki berusia 54 dan 35 tahun, manakala beberapa individu lain melarikan diri ke kawasan semak.
Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Ahmad Amri Abd Rahman berkata, serbuan dilakukan Unit Risik Marin selepas menjalankan risikan dan pemantauan di premis berkenaan.
Katanya, hasil pemeriksaan menemukan kira-kira 52 tan metrik isirung kelapa sawit yang dipercayai disimpan tanpa lesen sah.
“Turut dirampas sebuah lori treler Nissan Diesel, dua jentera Caterpillar serta alat sukat bersama kelengkapannya.
“Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM709,000,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ahmad Amri berkata, kes disiasat mengikut Peraturan 5(1)(d), Peraturan-Peraturan Lembaga Minyak Sawit Malaysia 2005 di bawah Akta Lembaga Minyak Sawit Malaysia 1998 (Akta 582).
Katanya, semua barang rampasan akan diserahkan kepada Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) Cawangan Lahad Datu untuk tindakan lanjut.
“Sepanjang tahun ini, PPM Wilayah 4 Sabah merekodkan 14 kes mengikut akta berkenaan membabitkan 27 tangkapan dengan nilai keseluruhan rampasan RM9.35 juta.
“PPM Wilayah 4 Sabah akan terus memperhebat risikan dan penguatkuasaan bagi membanteras kegiatan yang melanggar undang-undang serta melindungi kepentingan ekonomi negara,” katanya. – Info X