TAWAU: Seramai 5,399 pendatang asing tanpa izin (PATI) yang ditahan di Sabah sudah dipindahkan pulang ke negara asal masing-masing sepanjang tahun ini.
Terbaharu, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah memindahkan 87 warga Indonesia dari Depot Imigresen Tawau menerusi Pelabuhan Tawau ke Pelabuhan Nunukan, Indonesia menggunakan feri komersial.
JIM Sabah dalam kenyataan hari ini berkata, kumpulan itu terdiri daripada 56 lelaki dan 17 wanita dewasa serta 14 kanak-kanak berusia antara satu bulan hingga 66 tahun.

Katanya, 14 kanak-kanak berkenaan membabitkan lapan lelaki dan enam perempuan yang masing-masing diiringi ibu bapa atau penjaga.
Sementara itu, pada 26 September lalu, tujuh lagi tahanan dari Depot Imigresen Tawau dipindahkan ke negara asal melalui Lapangan Terbang Tawau.
“Mereka terdiri daripada lima lelaki warga Pakistan yang dihantar pulang ke Karachi dan Lahore, masing-masing seorang lelaki warga India ke New Delhi serta seorang wanita warga Filipina ke Manila,” katanya.
Menurut JIM Sabah, sehingga kini seramai 1,575 warga Indonesia dan 3,527 warga Filipina sudah dipindahkan ke negara asal.

“Jumlah itu turut membabitkan 125 warga Pakistan, China (128), Vietnam (21) serta 23 tahanan daripada beberapa negara lain, menjadikan keseluruhan 5,399 orang.
“Kesemua tahanan PATI sudah selesai menjalani hukuman mengikut peruntukan undang-undang ditetapkan serta mempunyai Surat Perjalanan Laksana Pasport (SPLP) dan dokumen sah bagi melayakkan mereka mengikuti proses pemindahan ke negara asal,” katanya.
JIM Sabah turut menyeru masyarakat supaya tidak bersekongkol, melindungi atau menggaji PATI serta menyalurkan maklumat mengenai kegiatan berkaitan kepada saluran rasmi jabatan. – Info X