KOTA KINABALU: Seramai 82 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah menerusi 12 operasi penguatkuasaan di lima daerah dalam tempoh enam hari.
Operasi bermula 26 September hingga 1 Oktober itu dilaksanakan di Kota Kinabalu, Tawau, Sandakan, Lahad Datu dan Keningau dengan keseluruhan 288 individu diperiksa.
JIM Sabah dalam kenyataan berkata, mereka yang ditahan terdiri daripada 43 warga Filipina, 15 warga Indonesia dan 24 warga Pakistan.

“Daripada jumlah warga Filipina, 21 adalah lelaki dewasa, 14 wanita dewasa, tiga kanak-kanak lelaki dan lima kanak-kanak perempuan.
“Bagi warga Indonesia pula, tangkapan membabitkan 11 lelaki dewasa, tiga wanita dewasa dan seorang kanak-kanak perempuan, manakala semua 24 warga Pakistan yang ditahan adalah lelaki dewasa,” katanya.
Menurut kenyataan itu lagi, operasi berkenaan dilaksanakan di pelbagai lokasi strategik sebagai sebahagian usaha berterusan membanteras kehadiran PATI serta mengekang penyalahgunaan kemudahan imigresen.

Sementara itu, JIM Sabah menegaskan operasi penguatkuasaan akan terus dipergiatkan di seluruh negeri bagi memastikan pematuhan terhadap undang-undang imigresen.
“Pada masa sama, orang ramai diingatkan supaya tidak melindungi, menggaji atau membantu warga asing yang melanggar undang-undang negara.

“Sebarang maklumat berkaitan kegiatan PATI boleh disalurkan kepada JIM menerusi saluran aduan rasmi jabatan,” katanya. – Info X