SEMPORNA: Seorang pelancong wanita warga China maut selepas tidak sedarkan diri ketika melakukan aktiviti snorkeling di perairan Pulau Pom Pom, di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 12.30 tengah hari itu, mangsa berusia 66 tahun dilaporkan mengadu tidak selesa sebelum meminta dibawa naik ke bot.
Ketua Polis Daerah Semporna, Superintenden Tan Hiap Wah berkata, mangsa yang berasal dari Yunnan itu melakukan aktiviti snorkeling bersama ahli keluarganya sebelum kejadian.
“Apabila berada di atas bot, mangsa didapati sudah tidak sedarkan diri.
“Mangsa diberikan bantuan pernafasan (CPR), namun tiada tindak balas sebelum dibawa ke Hospital Semporna untuk mendapatkan rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, pemeriksaan doktor di Wad Kecemasan Hospital Semporna mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia.
Katanya, mangsa mempunyai sejarah penyakit asma sejak kira-kira 10 tahun lalu.
“Polis masih menjalankan siasatan berhubung insiden ini,” katanya.
Tan turut menasihatkan pengusaha pelancongan supaya sentiasa memastikan aspek keselamatan pelancong diberi keutamaan, terutama ketika menjalankan aktiviti air.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat atau menjadi saksi kejadian diminta tampil ke balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.
“Sebarang maklumat boleh disalurkan kepada Pegawai Penyiasat, Asisten Superintenden Mohammad Ali Amat di talian 013-2120852,” katanya. – Info X