KUDAT: Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Sabah memperkukuh kawalan keselamatan di kawasan sempadan negeri ini menerusi kerjasama penugasan bersama Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA).
Kerjasama itu menyaksikan 37 anggota RELA yang sudah menjalani latihan khas bakal ditempatkan bersama PGA di lima pos kawalan strategik di Kudat, Pitas, Sipitang, Tenom dan Nabawan.
Komander Briged Sabah PGA, Datuk Nor Omar Sappi berkata, kerjasama berkenaan dilancarkan di Pos Kawalan PGA Kalampunian, di sini, hari ini, bagi memperkukuh kawalan keselamatan serta memelihara kedaulatan di kawasan persempadanan Sabah.

Katanya, 37 anggota RELA terbabit sudah menjalani dan menamatkan National Border Course (NBC) selama seminggu di Pusat Latihan RELA Sabah sebagai persediaan sebelum digerakkan untuk penugasan.
“Latihan berkenaan memberi persediaan kepada anggota dari aspek mental, fizikal dan taktik penugasan selain kemahiran asas serta pendedahan mengenai akta dan perundangan berkaitan kawalan sempadan.
“Peserta turut diberikan pendedahan terperinci mengenai selok-belok kawalan sempadan dan perlu melepasi ujian kelayakan akademik serta kecergasan fizikal,” katanya ketika berucap pada majlis berkenaan.

Nor Omar berkata, anggota terbabit akan ditempatkan di Pos Kalampunian, Kudat; Pos Inaruntung, Pitas; Pos Long Pasia, Sipitang; Pos Kaang, Tenom dan Pos Pagalungan, Nabawan.
Menurutnya, penugasan bersama PGA dan RELA merangkumi rondaan serta kawalan keselamatan selain pemantauan berterusan di sepanjang kawasan persempadanan.
Katanya, kerjasama itu turut merangkumi pengumpulan dan penyaluran maklumat keselamatan serta penugasan khas sebagai jurumudi bot.
“Kehadiran anggota RELA yang sudah menerima latihan khas dijangka dapat meningkatkan tahap kesiapsiagaan serta keberadaan pasukan keselamatan di pos barisan hadapan.

“Kerjasama ini akan terus diperkasakan secara berkala mengikut penilaian situasi dan keperluan keselamatan semasa,” katanya.
Beliau berkata, kerjasama berkenaan mencerminkan komitmen berterusan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan RELA dalam memperkukuh sinergi keselamatan serta memastikan kawasan sempadan Sabah terus dikawal dengan berkesan. – Info X