Search

Bentangkan laporan berkala kemajuan projek Pan Borneo Sabah – Matbali

October 7, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Ahli Parlimen Sipitang, Datuk Matbali Musah menyarankan supaya laporan kemajuan projek Lebuh Raya Pan Borneo Sabah dibentangkan secara berkala kepada Parlimen.

Katanya, langkah itu perlu bagi membolehkan semua wakil rakyat dan rakyat Sabah amnya mengetahui kemajuan serta perkembangan sebenar projek berkenaan.

“Kita perlu ada mekanisme pemantauan khas Pan Borneo Sabah yang lebih tersusun dengan garis masa, sasaran setiap pakej, status pengambilan tanah, status pampasan, status variation order, status kontrak dan kemajuan fizikal,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan Laporan Ketua Audit Negara 2/2026 pada Persidangan Dewan Rakyat di Parlimen, Kuala Lumpur, pada Rabu.

Katanya, Laporan Ketua Audit Negara mendedahkan dengan jelas pelbagai kelemahan dalam perancangan dan pelaksanaan projek Pan Borneo Sabah.

Pojek itu, katanya dirancang sejak sekian lama dan pengurusannya bertukar silih berganti, sehinggalah kepada Kementerian Kerja Raya pada September 2019.

“Tetapi sehingga 31 Mac lalu, projek itu masih belum siap sepenuhnya.

“Maka persoalannya mudah, berapa lama lagi rakyat Sabah perlu menunggu? Berapa lama lagi rakyat Sabah perlu bersabar? Berapa lama lagi jalan yang dijanjikan akan menjadi jalan yang benar-benar boleh digunakan?,” katanya.

Beliau berkata, projek Pan Borneo sangat penting bagi rakyat Sabah dari segi perhubungan mahupun pembangunan ekonomi.

Jelasnya, kawasan Sipitang antara yang terkesan akibat kelewatan pelaksanaan projek Pan Borneo, terutama jajaran Sindumin-Melalia-Beaufort.

Sehingga kini, katanya jajaran berkenaan belum siap sepenuhnya sedangkan Sipitang adalah pintu masuk ke Sabah dari Sarawak, Brunei Darussalam dan Kalimatan, Indonesia.

Matbali mengakhiri perbahasannya dengan mendeklamasi sebuah puisi berkaitan kelewatan projek itu dan kesannya kepada pemimpin.

Ungkapan puisi itu berbunyi:

“Sudah lama saya berkata-kata, berbuih mulut merayu dan meminta, hampir lima tahun menunggu lama, Pan Borneo masih tidak menjadi nyata.

“Banyak jajaran belum sempurna, kini pilihan raya sudah di ambang mata, mohonlah para bintara yang bijaksana, tuntaskan segera sebelum masanya tiba.

“Jangan rakyat terus merana, memendam rasa kecewa, kelak nantinya YB yang menjadi mangsa,” katanya. – Info X