TAWAU: Sebuah gudang penyimpanan kayu dan papan di Kilang Hap Seng, Tanjung Batu Laut Log Pond, di sini, musnah sepenuhnya dalam kebakaran, pagi tadi.
Kebakaran kira-kira jam 6 pagi itu memusnahkan keseluruhan gudang jenis tidak kekal berkeluasan kira-kira 3,066 meter persegi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau, Timbalan Penguasa Bomba Jemishin Ujin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 6.09 pagi sebelum 17 anggota bersama empat jentera digerakkan ke lokasi.
Katanya, sebaik tiba sembilan minit kemudian, pasukan bomba mendapati api sudah merebak dan membakar keseluruhan gudang berkenaan.

“Pasukan bomba menjalankan operasi pemadaman dari bahagian hadapan dan belakang gudang menggunakan sumber air daripada pili bomba.
“Operasi turut dibantu tujuh anggota Pasukan Bomba Komuniti Kampung Titingan yang menjalankan pemadaman dari bahagian kiri bangunan menggunakan pam angkut dan sumber air terbuka,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Jemishin berkata, kebakaran berjaya dikawal pada jam 7.53 pagi selepas hampir dua jam operasi pemadaman dijalankan.
Katanya, operasi diteruskan dengan kerja pemadaman dan pemeriksaan bagi memastikan tiada lagi sisa kebakaran yang boleh mencetuskan api semula.

“Setakat ini, tiada mangsa atau kecederaan dilaporkan dalam kejadian berkenaan.
“Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan pasukan bomba,” katanya. – Info X