Search

Bilik guru, pejabat SK Langkon hampir musnah terbakar

October 10, 2026

Info X Reporters

KOTA MARUDU: Bilik guru, pejabat am dan stor Sekolah Kebangsaan (SK) Langkon, di sini, hampir musnah dalam kebakaran yang memusnahkan 95 peratus bangunan berkenaan, petang tadi.

Dalam kejadian jam 6.50 petang itu, kebakaran membabitkan bangunan separuh kekal dua tingkat berkeluasan kira-kira 119 meter persegi.

Bagaimanapun, tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian berkenaan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Marudu, PPgB Debli Mamoi berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 6.53 petang sebelum 13 anggota bersama jentera digerakkan ke lokasi.

Katanya, pasukan bomba tiba pada jam 7.09 malam dan mendapati kebakaran membabitkan bilik guru, pejabat am serta stor sekolah berkenaan.

“Operasi pemadaman dijalankan menggunakan dua aliran hos sepanjang kira-kira 61 meter dengan tiga pancutan air.

“Sumber air diperoleh daripada jentera bomba dan lori tangki air bagi memadam kebakaran,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Debli berkata, kebakaran berjaya dikawal pada jam 7.38 malam sekali gus menghalang api daripada merebak ke bangunan berhampiran.

Katanya, pasukan bomba kemudian menjalankan kerja pemeriksaan dan memastikan tiada lagi bahaya di lokasi sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 10.37 malam.

“Setakat ini, punca kebakaran dan jumlah kerugian masih belum diketahui.

“Operasi turut dibantu tujuh anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan dua petugas Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB),” katanya. – Info X