KOTA BELUD: Seorang warga emas yang keluar menjala ikan di Sungai Kadamaian, Kampung Rajunah, di sini, petang semalam, ditemukan meninggal dunia kira-kira 1.5 kilometer dari rumahnya, pagi tadi.
Mangsa, Togoi Tawan, 70, ditemukan di tepi Sungai Kadamaian, Kampung Bokilong, kira-kira jam 6.39 pagi selepas dilaporkan hilang malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kota Belud, Superintendan Khairul Shah Peri berkata, mangsa keluar dari rumah kira-kira jam 4.40 petang dengan membawa jala menuju ke sungai yang terletak kira-kira 200 meter dari kediamannya.

Katanya, ahli keluarga mula bimbang selepas mangsa tidak pulang sehingga jam 9 malam sebelum memaklumkan kejadian kepada polis.
“Ketika kejadian, cuaca dilaporkan hujan menyebabkan paras air sungai meningkat dan arus menjadi deras.
“Operasi pencarian dilakukan bersama bomba, namun ditangguhkan pada sebelah malam berikutan keadaan gelap,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, mangsa ditemukan selepas polis menerima maklumat daripada orang awam sebelum kematiannya disahkan pegawai perubatan.
“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Kota Belud dan bedah siasat akan dijalankan di Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu, bagi mengenal pasti punca kematian.
“Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR),” katanya. – Info X