Search

280 PATI Filipina dihantar pulang ke negara asal

October 13, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Seramai 280 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Filipina, termasuk bayi berusia sebulan dan warga emas berumur 90 tahun, dihantar pulang ke negara asal menerusi operasi pemindahan melalui laut dari Sabah.

Semua tahanan terbabit dipindahkan dari Depot Imigresen Tawau melalui Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Lahad Datu sebelum menaiki feri komersial ke Pelabuhan Bongao, Filipina.

Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah menerusi kenyataan di Facebook rasminya, hari ini, memaklumkan pemindahan itu membabitkan 193 lelaki dewasa, 51 wanita dewasa, 16 kanak-kanak lelaki dan 20 kanak-kanak perempuan.

Menurut kenyataan itu, semua kanak-kanak yang terbabit dalam program pemindahan berkenaan turut diiringi ibu bapa atau pengiring masing-masing.

“Sebelum ini, pada 10 Oktober lalu, empat lelaki dewasa warga China turut dihantar pulang melalui penerbangan terus dari Lapangan Terbang Tawau ke Guangzhou, China.

“Selain itu, 11 wanita dewasa warga Filipina dari Depot Imigresen Papar dipindahkan melalui penerbangan terus dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu ke Manila, Filipina,” menurut kenyataan itu.

JIM Sabah memaklumkan, sehingga kini, seramai 5,915 tahanan PATI pelbagai kewarganegaraan sudah dihantar pulang ke negara asal masing-masing sepanjang tahun ini.

Katanya, daripada jumlah itu, warga Filipina mencatatkan jumlah tertinggi iaitu 3,974 orang, diikuti Indonesia (1,629), Pakistan (132), China (132), Vietnam (25) dan lain-lain kewarganegaraan (23).

Menurutnya, semua tahanan yang dihantar pulang sudah selesai menjalani hukuman mengikut peruntukan undang-undang serta memiliki dokumen perjalanan sah bagi membolehkan proses pemindahan dilaksanakan.

Sehubungan itu, JIM Sabah mengingatkan orang ramai supaya tidak melindungi atau menggaji PATI, selain menyalurkan maklumat berkaitan kegiatan berkenaan melalui saluran aduan rasmi jabatan.

“Orang ramai boleh membuat aduan menerusi Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) atau Sistem Pertanyaan Online (SPO) JIM,” katanya. – Info X