Search

Remaja 15 tahun dipatuk ular tedung di depan kedai tayar

October 13, 2026

Info X Reporters

TAWAU: Seorang remaja lelaki berusia 15 tahun dikejarkan ke hospital selepas dipatuk ular tedung di hadapan sebuah kedai tayar di Batu 3, Jalan Apas, di sini, malam ini.

Mangsa yang dipatuk ular jenis Sumatran Spitting Cobra (Naja sumatrana) dihantar ke Hospital Tawau oleh ahli keluarganya sebelum pasukan bomba tiba di lokasi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau, Jemishin Ujin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 7.50 malam.

Katanya, lima anggota bersama jentera Compact Fire Rescue Tender (CFRT) dikejarkan ke lokasi dan tiba kira-kira 13 minit kemudian.

“Setibanya di lokasi, pasukan bomba mendapati seekor ular tedung berada di hadapan kedai tayar berkenaan, manakala mangsa sudah dibawa ke hospital oleh keluarganya.

“Anggota bomba kemudian bertindak menangkap ular terbabit bagi memastikan keselamatan orang awam di kawasan itu,” katanya.

Menurutnya, operasi ditamatkan pada jam 8.18 malam selepas keadaan disahkan selamat dan tiada lagi ancaman bahaya.

“Pihak bomba turut menghubungi Hospital Tawau bagi mendapatkan perkembangan keadaan mangsa dan dimaklumkan remaja terbabit berada dalam keadaan stabil,” katanya. – Info X