Search

16 rumah musnah dalam kebakaran di Tawau

October 17, 2026

Info X Reporters

TAWAU: Sebanyak 16 rumah kediaman jenis tidak kekal musnah sepenuhnya dalam kebakaran di Batu 2, Jalan Apas, Lorong Mat Salleh, di sini, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.31 malam itu, tiada mangsa dilaporkan terbabit.

Pemangku Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau, Madzlan Sarman, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan menerusi talian NG999 sebelum jentera bomba tiba di lokasi kejadian tiga minit kemudian.

Beliau berkata, sebaik tiba, pasukan bomba mendapati kebakaran membabitkan rumah kediaman jenis tidak kekal dan operasi pemadaman segera dijalankan.

“Ketua Zon 5 tiba di lokasi pada jam 10.27 malam dan melaporkan kebakaran membabitkan lebih 10 rumah kediaman.

“Jumlah keseluruhan rumah yang terbakar dikenal pasti sebanyak 16 buah dengan keluasan kawasan kebakaran dianggarkan 52 x 95 meter persegi,” katanya dalam kenyataan.

Madzlan berkata, kebakaran berjaya dikawal pada jam 11.55 malam, manakala operasi pemadaman diteruskan sehingga jam 3.25 pagi bagi memastikan keadaan di lokasi benar-benar selamat.

Katanya, operasi pemadaman menggunakan tiga aliran dengan lima pancutan air, selain mendapatkan bekalan daripada tangki jentera bomba, pili bomba berhampiran dan sumber air terbuka iaitu parit.

“Seramai 45 anggota terbabit dalam operasi berkenaan, membabitkan 26 anggota dari BBP Tawau, enam anggota BBP Kunak dan 11 anggota Bomba Komuniti Titingan.

“Operasi turut dibantu 10 anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), tujuh anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), dua anggota Jabatan Air dan dua anggota Sabah Electricity,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, punca kebakaran dan jumlah kerugian yang dialami mangsa masih dalam siasatan. – Info X