Search

Lokasi tragedi kontena hempap dua beranak tidak sesuai untuk aktiviti pemunggahan – JPJ

October 20, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Kawasan jalan raya berhampiran Pelabuhan Sepanggar yang menjadi lokasi tragedi dua beranak maut dihempap kontena, Ahad lalu, didapati tidak sesuai dijadikan tempat pemunggahan atau pemindahan kontena berikutan keadaan jalan yang sempit.

Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Sabah, Datuk Mohd Harris Ali berkata, perkara itu dikenal pasti hasil tinjauan ke lokasi kejadian, semalam, bagi meneliti aspek keselamatan serta langkah penambahbaikan bagi mengelakkan tragedi sama berulang.

Mohd Harris Ali (tengah), bersama pegawai penguat kuasa meninjau keadaan bahu jalan berhampiran Pelabuhan Sepanggar yang menjadi lokasi tragedi kontena menghempap kereta sehingga mengorbankan dua beranak, Ahad lalu.

Katanya, aktiviti pemunggahan dan pemindahan kontena sepatutnya dijalankan di dalam kawasan pelabuhan atau depot kontena yang mendapat kelulusan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

“Pemerhatian turut mendapati terdapat sebilangan pengusaha meletakkan kontena di bahu jalan termasuk di atas longkang sehingga mengancam keselamatan pengguna jalan raya serta menyebabkan kerosakan infrastruktur.

“Keadaan ini perlu diberi perhatian serius bagi memastikan aktiviti pengangkutan dan pemunggahan kontena tidak membahayakan pengguna jalan raya lain,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohd Harris (tengah) bersama pegawai JPJ Sabah meneliti keadaan jalan dan kawasan pemunggahan kontena berhampiran Pelabuhan Sepanggar yang dikenal pasti tidak sesuai untuk aktiviti berkenaan berikutan keadaan jalan yang sempit.

Mohd Harris berkata, susulan kejadian itu, JPJ Sabah menjalankan operasi khas pada 19 Oktober lalu dengan mengambil tindakan terhadap 65 kenderaan serta mengeluarkan 109 notis atas pelbagai kesalahan.

Katanya, kesalahan tertinggi membabitkan Seksyen 48(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu memberhentikan atau membenarkan kenderaan berhenti di jalan dalam keadaan yang boleh membahayakan, menghalang atau menyusahkan pengguna jalan raya lain.

“Jika disabitkan kesalahan, pesalah boleh dikenakan denda antara RM1,000 hingga RM5,000 atau penjara antara satu hingga lima tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Menurutnya, statistik penguatkuasaan di sekitar Jalan Sepanggar menunjukkan sebanyak 397 notis dikeluarkan sepanjang 2025, manakala 486 notis direkodkan bagi tahun ini setakat ini.

Beliau berkata, JPJ Sabah akan membangkitkan kepada pihak berwajib mengenai keperluan menyediakan kawasan depot simpanan dan ruang menunggu kenderaan perdagangan yang bersesuaian.

Mohd Harris (tengah) berbincang dengan individu di lokasi ketika mengadakan tinjauan bagi mengenal pasti isu keselamatan serta langkah penambahbaikan susulan tragedi kontena yang meragut dua nyawa berhampiran Pelabuhan Sepanggar.

“Cadangan pemasangan bonggol jalan, baik pulih jalan raya, menaik taraf pencahayaan serta pembesaran bahu jalan sepanjang laluan ke Pelabuhan Sepanggar juga perlu dipertimbangkan.

“Langkah ini penting bagi mengurangkan risiko kemalangan terutama pada waktu malam,” katanya.

Sementara itu, beliau turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa dan berharap tragedi itu menjadi peringatan kepada semua pihak supaya sentiasa mengutamakan keselamatan serta mematuhi peraturan jalan raya.

Dalam pada itu, tinjauan ke lokasi kejadian turut disertai Timbalan Pengarah JPJ Sabah, Anak Jusiang, Ketua Bahagian Penguat Kuasa, Misnan Tamimi serta 27 pegawai dan anggota JPJ Sabah.

Terdahulu, dalam kejadian kira-kira jam 6.15 petang Ahad lalu, Mohd Jadi Pelbi, 53, bersama anak perempuannya, Norfaieza Mohd Jadi, 24, maut selepas Toyota Avanza dinaiki mereka dihempap kontena berhampiran Pelabuhan Sepanggar.

Kontena berkenaan dilaporkan hilang keseimbangan ketika proses pemunggahan muatan ke atas sebuah treler sebelum terjatuh dan menghempap kereta dinaiki kedua-dua mangsa.

Pasukan bomba mengambil masa kira-kira tiga jam untuk mengeluarkan kedua-dua mangsa dengan bantuan dua kren bagi mengalihkan kontena sebelum kereta yang terperangkap di bawahnya berjaya dikeluarkan.

Susulan kejadian itu, polis menahan pemandu treler berusia 49 tahun bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – Info X