PAPAR: Seorang penoreh getah mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan, masing-masing berkaitan menyebabkan kematian, memiliki senjata api dan peluru tanpa lesen ketika dihadapkan di Mahkamah Majistret, di sini, pada Selasa.
Bagi pertuduhan pertama, tertuduh, Stephen Rantin, 55, didakwa menyebabkan kematian Jivalwoddy Jalius, 19, dengan melakukan satu perbuatan cuai pada Januari lalu mengikut Seksyen 304A Kanun Keseksaan.
Kejadian dilapor berlaku antara jam 4 petang hingga 6 petang, 11 Januari 2026 di sebuah ladang kelapa sawit di Kampung Ulu Lumagar, Bongawan, Papar.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara selama dua tahun atau didenda atau kedua-duanya.
Sementara itu, tertuduh turut berdepan pertuduhan kedua mengikut Seksyen 8 (a) Akta Senjata 1960 yang boleh dihukum di bawah seksyen dan akta yang sama kerana memiliki selaras senapang jenis bakakuk tiada jenama dan tanpa lesen senjata yang sah bagi senjata terbabit.
Beliau didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah tidak bernombor, Kampung Ulu Lumagar, Bongawan, Papar pada kira-kira jam 5.30 petang, 12 Januari 2026.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tujuh tahun atau denda tidak melebihi RM10,000 atau kedua-duanya sekali.
Bagi pertuduhan ketiga pula, tertuduh turut berdepan dakwaan mengikut seksyen dan akta yang sama, juga di tempat dan masa yang sama kerana memiliki sebutir amunisi berupa peluru berwarna hijau dengan nombor 12 tertera pada bahagian belakangnya tanpa lesen senjata yang sah bagi amunisi itu.
Pertuduhan itu turut membawa hukuman penjara selama tempoh tidak melebihi tujuh tahun atau denda tidak melebihi RM10,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Tertuduh bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas ketiga-tiga pertuduhan di hadapan majistret Zuraini Ali Musa.
Mahkamah kemudian menetapkan jaminan sebanyak RM5,000 bagi ketiga-tiga pertuduhan terhadap tertuduh, manakala pengurusan kes ditetapkan pada 20 November depan.
Berdasarkan fakta kes, polis menerima panggilan dari Hospital Beaufort mengenai satu kes pesakit mengalami kecederaan akibat kesan terkena peluru di bahagian kanan perut pada kira-kira jam 9.10 malam, 11 Januari 2026.
Hasil siasatan polis mendapati tertuduh dan mangsa (pesakit) pergi memburu di sebuah ladang kelapa sawit di Ulu Lumagar, Bongawan secara berasingan.
Ketika di ladang berkenaan, tertuduh mendakwa melihat seakan-akan payau sebelum melepaskan satu das tembakan yang kemudian didapati mengenai mangsa.
Berikutan itu, tertuduh bersama dua penduduk kampung kemudian mengejarkan mangsa ke Hospital Beaufort untuk mendapatkan rawatan sebelum mangsa dipindahkan ke Hospital Queen Elizabeth untuk rawatan lanjut.
Mangsa kemudian dilaporkan meninggal dunia akibat ‘complications of gunshot wounds and right massive hemothorax with intra abdominal sepsis’.
Pada 12 Januari 2026, polis merampas barang kes yang digunakan tertuduh dan siasatan di lokasi kejadian menemui beberapa sampel barang kes untuk dianalisa iaitu satu laras senjata api buatan sendiri atau bakakuk dan sebutir peluru.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Polis, Inspektor Amir Khuzairi Ahmad, manakala siasatan kes oleh Pegawai Penyiasat Polis, Inspektor Desmond Tanggapan. – Info X