TAWAU: Sebanyak 15,000 liter minyak diesel bersubsidi yang disyaki cuba diseleweng dirampas Pasukan Gerakan Am (PGA) dalam operasi di kawasan Jalan Sin On Tiku, di sini, semalam.
Rampasan bernilai keseluruhan RM112,050 termasuk peralatan yang dipercayai digunakan dalam kegiatan itu dibuat hasil pemantauan dan risikan pasukan berkenaan.
Menurut kenyataan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Sabah menerusi Facebook rasminya, hari ini kes berkenaan diserahkan oleh PGA kepada KPDN cawangan Tawau untuk tindakan lanjut.
Katanya, selain minyak diesel, turut disita dua tangki berwarna hijau, dua gulung hos sepanjang 10 dan lima meter serta dua set pam.

“Kes diserahkan kepada Seksyen Penguat Kuasa KPDN Cawangan Tawau untuk tindakan lanjut mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.
“KPDN Tawau sudah membuka kertas siasatan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 bagi menyiasat kes berkenaan,” menurut kenyataan itu.
Menurut kenyataan sama, individu yang disabitkan kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM1 juta bagi kesalahan pertama dan RM3 juta bagi kesalahan berikutnya atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

“Bagi syarikat pula, denda sehingga RM2 juta boleh dikenakan bagi kesalahan pertama dan sehingga RM5 juta bagi kesalahan berikutnya.
“KPDN Cawangan Tawau komited membanteras sebarang aktiviti penyelewengan barang kawalan bagi melindungi kepentingan rakyat dan negara.
“Sebarang cubaan menyeleweng atau menyalahgunakan minyak diesel bersubsidi adalah kesalahan serius dan tindakan tegas akan diambil tanpa kompromi,” katanya. – Info X