Search

Pemandu lori maut tercampak selepas terbabas

October 29, 2026

Info X Reporters

PAPAR: Seorang pemandu lori maut selepas kenderaan dipandunya terbabas ketika menuruni bukit di Kilometer 36, Jalan Kimanis – Keningau, di sini, tengah hari tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah hari itu, mangsa lelaki berusia 50 tahun mengalami kecederaan parah di kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Papar, Superintendan Heryan Mohd Tahir berkata, siasatan awal mendapati mangsa memandu lori jenis Isuzu secara bersendirian dari arah Keningau menuju ke Tuaran.

Katanya, ketika tiba di lokasi kejadian yang mempunyai laluan berbukit, curam dan berselekoh, lori berkenaan dipercayai hilang kawalan ketika menuruni bukit.

“Lori terbabit kemudian terbabas ke bahu jalan sebelah kiri sebelum mangsa dipercayai tercampak keluar daripada kenderaan.

“Akibat kejadian itu, mangsa mengalami kecederaan parah di kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Heryan berkata, polis menerima maklumat mengenai kemalangan itu kira-kira jam 12.20 tengah hari sebelum sepasukan anggota Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) IPD Papar dikejarkan ke lokasi.

Katanya, mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu untuk proses bedah siasat.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kemalangan,” katanya.

Beliau turut menasihatkan pemandu khususnya kenderaan berat supaya lebih berhati-hati ketika melalui jalan berbukit dan berselekoh.

“Pemandu perlu memastikan sistem brek, tayar dan komponen keselamatan kenderaan berada dalam keadaan baik serta menggunakan gear bersesuaian ketika menuruni bukit.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian diminta menghubungi BSPT IPD Papar atau balai polis berhampiran bagi membantu siasatan,” katanya. – Info X