SIPITANG: Seramai 25 mangsa banjir membabitkan empat keluarga dipindahkan ke Dewan Mesapol selepas kediaman mereka dinaiki air di Kampung Bebangkong Mesapol, di sini, awal pagi tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sipitang, Desmond Anak Mickey berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 5.42 pagi.
Katanya, sepasukan enam anggota bersama sebuah jentera dan bot penyelamat dikejarkan ke lokasi bagi menjalankan operasi pemindahan mangsa.
“Pasukan bomba tiba di lokasi pada jam 5.55 pagi dan mendapati kawasan berkenaan dilanda banjir.
“Operasi pemindahan membabitkan empat keluarga dijalankan menggunakan sebuah bot penyelamat sebelum semua mangsa dibawa ke Dewan Mesapol,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, mangsa yang dipindahkan terdiri daripada lelaki dan wanita dewasa, kanak-kanak serta seorang bayi perempuan.
Beliau berkata, operasi berkenaan turut mendapat bantuan dua anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Pemantauan dan operasi pemindahan masih dijalankan mengikut keadaan semasa di lokasi.
“Maklumat lanjut berhubung perkembangan banjir akan dikemas kini dari semasa ke semasa,” katanya. – Info X